Berita Buruk Untuk Perokok Tegar, Tapi...

Bagi perokok-perokok tegar, kenaikan harga rokok merupakan satu "nightmare" bagi mereka, khususnya mereka yang "tidak boleh hidup tanpa rokok".

Dan bermula hari ini, harga rokok seperti Dunhill, Kent, Benson & Hedges, Lucky Strikes, Pall Mall, Rothmans dan Peter Stuyvesent akan bertambah sebanyak RM 1.50.

Kenaikan itu merujuk pada kenyataan terbaru British American Tobacco Malaysia (BAT) semalam, dan kenaikan kali ini merupakan antara yang tertinggi dalam sejarah di Malaysia.

Syarikat-syarikat rokok antarabangsa itu memberi alasan kenaikan harga tersebut adalah susulan dari kenaikan duti eksais oleh kerajaan pada 1 November lalu, maka kenaikan harga rokok di pasaran tempatan tidak dapat dielakkan.

Kali terakhir British American Tobacco Malaysia (BAT) menaikkan harga rokok keluaran syarikatnya adalah pada 8 September lalu iaitu sebanyak RM 1.00.

Menurut syarikat itu, kenaikan ini tidak dapat dielakkan bagi memastikan kelangsungan BAT dalam persaingan dengan syarikat rokok lain.

Kali terakhir harga rokok naik setinggi RM 1.50 bagi setiap pek adalah pada 30 September tahun lalu yang menyaksikan kenaikan tunggal terbesar dalam sejarah. 

Mungkin disebabkan iklan "rokok membahayakan kesihatan" dan pelbagai amaran serta kempen berhenti merokok sebelum ini kurang membuahkan hasil yang diharapkan, maka mungkin cara menaikkan harga rokok sebegini mampu mengurangkan jumlah perokok, sekaligus mengurangkan jumlah bilangan rokok yang dihisap perokok tegar setiap hari.

Selain itu, mungkin cara ini mampu menjimatkan wang perokok bagi kegunaan lain yang lebih jauh berfaedah selain membantu industri rokok tradisi tempatan seperti rokok daun nipah, sekaligus meningkatkan pendapatan pengusaha tembakau tempatan.

Eloklah kita cuba berhenti merokok secepat mungkin dari terus mensia-siakan nikmat kesihatan yang diberikan Allah SWT kepada kita, kan? -KedahNews.com