Biar Diguling Dan Kewangan Terhad, Mangsa "Konspirasi Politik" Tetap Beri Khidmat

KUALA LUMPUR – Biarpun hanya mempunyai sedikit wang dan sumber kewangan yang terhad setelah digulingkan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat walau terpaksa bergerak secara "solo".

Bekas Menteri Besar Selangor yang digulingkan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, dia tidak akan mengecewakan rakyat dan akan tetap menggalas amanah selain memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasannya.

Menurut Abdul Khalid, dia kini memiliki sumber kewangan yang sangat terhad setelah disingkir dari PKR dan digulingkan secara "terancang" oleh beberapa individu dalam kepimpinan Pakatan Rakyat, khususnya Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

“Biarpun saya bergerak selaku Ahli Parlimen dan ADUN Bebas dengan peruntukan terhad itu adalah amanah. Saya berjanji akan terus berkhidmat dan melunaskan amanah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan Menteri Besar Selangor yang baharu, Azmin Ali akan mendapatkan butiran lanjut berhubung dakwaan bahawa Abdul Khalid memberi pampasan RM2.5 juta kepada tujuh pembantunya sebelum beliau berundur.

Semalam, ADUN Seri Andalas, Xavier Jayakumar dalam coretan di Twitter turut mempersoalkan sekiranya benar kerajaan negeri mengarahkan Menteri Besar Incorporated (MBI) mendapatkan semula wang itu daripada pembantu Abdul Khalid.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR pada 9 Ogos lalu kerana enggan meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor.

Meskipun PAS mempertahankan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, tetapi beliau terpaksa akur dengan desakan kuat PKR serta DAP dan mengumumkan perletakan jawatan pada 26 Ogos 2014.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagaimanapun tidak berkenan melantik Wan Azizah sebaliknya melantik melantik Mohamed Azmin yang juga Naib Presiden PKR sebagai Menteri Besar Selangor. -KedahNews.com