KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
mengingatkan semua pihak bahawa sukan bola sepak bukan batu loncatan
politik kepada mana-mana pihak dalam negara.
Baginda sebaliknya bertitah, bola sepak merupakan sebuah sukan
profesional maka sebarang agenda tidak profesional perlu diketepikan
jika mahu lihat bola sepak negara menjadi maju.
“Bola sepak merupakan suatu projek jangka panjang dan memerlukan
sifat dinamik serta komitmen yang tinggi daripada individu-individu yang
terlibat. Kita perlu hentikan amalan menggunakan bolasepak sebagai batu
loncatan politik dan melihatnya sebagai satu sukan profesional.
“Agenda-agenda tersembunyi dan niat yang buruk tidak membawa sebarang
manfaat. Pelaburan strategik, profesionalisme dan integriti merupakan
asas bagi pertumbuhan jangka masa panjang,” titah baginda dalam satu
kenyataan hari ini.
Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
(PBNJ) bertitah, baginda mempunyai tiga objektif semasa membuat
keputusan berkhidmat untuk bola sepak Johor iaitu menyatu-padukan rakyat
negeri.
Titah baginda, objektif kedua adalah memupuk gaya hidup sihat dalam
kalangan generasi muda dan mengelakkan mereka terjebak dengan gejala
negatif dan ketiga membentuk sebuah persatuan bola sepak yang
profesional dan berjaya.
“Kejayaan dicapai apabila seseorang itu menangguhkan kesenangan pada
masa kini untuk mengusahakan matlamat jangka panjang,” titah baginda. -Mynewshub.cc