PETALING JAYA – Orang bukan Islam mempunyai hak untuk mengambil
alkohol dan mereka dibenarkan untuk berbuat demikian walaupun PAS
memerintah Kelantan, kata Naib Presiden parti, Datuk Husam Musa dalam
satu forum, malam Isnin.
“Alkohol adalah hak dan aset orang bukan Islam. Kita tidak boleh
mengambil aset orang bukan Islam secara paksaan tanpa persetujuan
mereka,” katanya.
Husam menjelaskan bahawa di Kelantan, lesen diberikan oleh kerajaan
negeri kepada bukan Islam untuk menjual alkohol tetapi hasil daripadanya
disalurkan secara berasingan daripada cukai lain supaya umat Islam
tidak mendapat keuntungan daripada penjualan arak.
Beliau bercakap mengenai isu memorandum yang dihantar kepada syarikat
penerbangan nasional MAS oleh kumpulan tertentu dalam parti Islam itu,
termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang
berusaha untuk mengharamkan hidangan arak dalam penerbangan.
“Adakah penumpang bukan Islam tidak diberi hak yang sama dengan
rakyat Kelantan?” tanya Husam, yang menegaskan adalah lebih mudah
menguruskan agar pramugari Muslim tidak menghidangkan alkohol.
Ahli panel lain di forum ini adalah Sasterawan Negara A. Samad Said,
Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan pakar undang-undang
Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari. - mStar