Buli Jalanraya: Pemandu Teksi Tampar Gadis Terima Padah

KUALA LUMPUR  -  Seorang pemandu teksi didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pekerja wanita syarikat insurans tiga hari lepas.

Majistret Nur A'Minatul Mardiah Mohd Nor turut memerintahkan Chong Kim Fah, 46, di penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

"Walaupun kecederaan yang dialami adalah kecil, tertuduh telah bertindak menggunakan kekerasan fizikal ketika menyelesaikan masalah. Faktor kepentingan awam harus diberi keutamaan," katanya.

Chong didakwa mencederakan Tan Yun Ceat, 26, dengan menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu di Jalan Angsoka off Jalan Nagasari, Dang Wangi pada 7.40 pagi, 17 November lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, mangsa luka di bibir dan lebam di pipi kanan akibat ditampar.

Ketika rayuan, peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja kerana ia kesalahan pertama dan anak guamnya perlu menjaga ibunya berusia 74 tahun serta menghidap sakit tua.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran memandangkan kes keganasan di jalan raya semakin berleluasa dan kerap berlaku.

"Tambahan pula kes ini telah dilaporkan di media massa dan hangat diperkatakan di media sosial kini.

"Apakah  pandangan masyarakat jika hukuman terlalu ringan diberikan dan ini merupakan peluang bagi mahkamah memberi hukuman sebagai  pengajaran kepada tertuduh dan pengajaran kepada masyarakat supaya jenayah keganasan di jalan raya dihentikan," katanya. - Bernama