Banjir yang berlaku di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini bukan sahaja mengorbankan nyawa tetapi juga menyebabkan kerugian harta benda yang nilainya jutaan ringgit. Walaupun ia dikategorikan sebagai bencana alam tetapi penerokaan hutan yang tidak terkawal atau dengan kata lain penerokaan sesuka hati juga turut menyumbang kepada kejadian tersebut.
Berdasarkan investigative reporting Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia, hampir keseluruhan tanah di kawasan peranginan itu sedang diteroka sama ada secara sah atau haram bagi tujuan pertanian dan pembangunan. Apa pun perbuatan jika dilakukan secara berlebih-lebihan akan membawa mudarat.
Dalam bab alam sekitar, ramai di kalangan kita yang tidak sedar tentang kos melepas yang terpaksa ditanggung ekoran penerokaan hutan dan gunung-ganang yang ditarah tanpa had. Kalaupun bukit-bukau yang ditarah itu dapat dibina semula manakan sama dengan ciptaan Allah yang Maha Esa.
Ternyata kerakusan manusia meneroka hutan tanpa kawalan dengan menggondolkan bukit-bukau dan gunung-ganang akhirnya membawa padah.
Hal ini disebut menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41)
Tidak dapat dinafikan, kewujudan bukit-bukau dan gunung-ganang di serata dunia mempunyai fungsinya yang tertentu kepada kestabilan alam. Di antara fungsi segala bukit-bukau dan gunung-ganang ini ialah sebagai penstabil bumi daripada sebarang gegaran.
Oleh sebab itu, para geologi menyarankan agar bukit-bukau serta gunung-ganang tidak diusik demi menjaga kestabilan ekosistem alam. Tragedi yang berlaku di merata tempat seperti peristiwa banjir di Cameron Highlands baru-baru ini adalah antara bukti penderhakaan manusia kepada fungsi alam sekitar. Keghairahan mengejar kemajuan dan mengorbankan ekosistem alam atas nama pembangunan telah mengundang bencana alam.
Sekitar tahun 80an dan awal 90-an, ramai di kalangan kita berkunjung ke Cameron Highlands untuk merasai suasana dingin ala Barat kerana suhunya adalah sekitar 18 darjah celsius. Namun kini, ramai mendapati kedinginan itu sudah hilang gara-gara ekosistem tanah tinggi seluas 712 kilometer persegi atau sebesar Singapura ini telah banyak diganggu. Sekarang, suhu sejuk pada waktu siang hanya dirasai jika hujan walaupun kedudukan tanah tinggi itu terletak antara 1,100 meter ke 1,600 meter dari paras laut.
Sebab itu, kerajaan menetapkan peraturan dan garis panduan dalam penerokaan hutan di kawasan tanah tinggi. Ia bagi menghalang berlakunya mudarat seperti banjir dan tanah runtuh selain menyebabkan perubahan cuaca yang pantas. Malangnya, semua panduan dan peraturan itu dilanggar oleh manusia yang rakus.
Golongan ini lupa bahawa bukit-bukau dan gunung-ganang itu dicipta Allah bukan sia-sia tetapi sebagai pasak dan penstabil bumi daripada sebarang gegaran, tanah runtuh atau gempa bumi.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (al-Naba’: 6-7). Lihat juga surah an-Nahl ayat 15.
Fakta yang terkandung di dalam ayat-ayat di atas ternyata benar hasil dapatan kajian ilmu geologi moden yang mengakui kepentingan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai faktor pasak atau penstabil bumi daripada sebarang gegaran, tanah runtuh dan gempa bumi.
Hal ini turut dijelaskan dalam buku Earth yang menjadi rujukan banyak universiti seluruh dunia. Salah seorang pengarangnya ialah Prof. Dr. Frank Press. Beliau ialah Presiden Akademi Sains Amerika Syarikat selama 12 tahun mulai tahun 1981.
Buku itu menyatakan bahawa gunung-gunung mempunyai akar di bawah mereka. Akar ini menjalar dalam, sehinggakan gunung-gunung mempunyai bentuk bagaikan pasak.
Bumi ini bukan milik kita, ia hanya pinjaman semasa hayat kita yang singkat. Ia adalah untuk diwarisi kepada generasi anak cucu kita akan datang. Justeru, jangan dimusnahkan hutan dan alam sekitar yang dikurniakan Allah kerana kesannya amat buruk dan kemusnahannya sukar diganti.
Ilmu bumi moden telah membuktikan bahawa gunung-ganang memiliki akar di dalam tanah dan akar ini dapat mencapai kedalaman yang berlipat daripada puncaknya di atas permukaan tanah. Jadi, kata yang paling tepat untuk menggambarkan gunung-gunung berdasarkan informasi ini adalah kata ‘pasak’ kerana bahagian terbesar daripada sebuah pasak tersembunyi di dalam tanah.
Pengetahuan semacam ini, tentang gunung-gunung yang memiliki akar yang dalam, baharu diperkenalkan di separuh kedua abad ke-19 walhal al-Quran telah menjelaskannya lebih 1,400 tahun dulu. Sebagaimana pasak yang digunakan untuk menahan atau mencengkam sesuatu agar kukuh, gunung-gunung juga memiliki fungsi penting dalam menstabilkan kerak bumi.
Sumber: Utusan