Lazimnya pasangan kepada pemilik jenama terkenal akan memakai jenama
yang sama dengan syarikat milik si suaminya itu, bukan setakat menjadi
bahan promosi malah berbangga membuktikan jenama tersebut digemari
ahli-ahli keluarganya sendiri.
Namun, ini tidak berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry,
John Chen yang mengakui berasa malu apabila isterinya sendiri lebih
selesa menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy, lapor akhbar
perniagaan terkemuka, The Financial Times di London.
“Kami pernah pergi ke beberapa majlis keramaian dan isteri saya
bersahaja mengeluarkan Samsung dari tas tangannya menyebabkan mereka di
sekitar kami berubah jadi terpinga-pinga,” kata Chen, 59 tahun, dalam
satu wawancara eksklusif akhbar itu baru-baru ini.
Malu dengan situasi tersebut, beliau yang mengetuai BlackBerry sejak
2013 terpaksa memujuk isterinya; yang dirahsiakan namanya; beralih
kepada produk BlackBerry tetapi wanita itu tetap bertegas lebih
menggemari jenama Samsung berbanding BlackBerry.
“Saya orang No.1 di BlackBerry, ironi isteri sendiri guna telefon
lawan kami, bagaimana saya nak meyakinkan pelabur dengan prospek bisnes
BlackBerry,” katanya mengulas penguasaan 1 peratus syarikat itu kini
berbanding 20 peratus pada zaman kegemilangannya.
Chen yang berasal dari Hong Kong bagaimanapun berkata, dia
menghadiahkan BlackBerry kepada isterinya namun tidak pasti sama ada
wanita itu masih menggunakan Samsung secara sembunyi kerana isterinya
banyak menyimpan rahsia peribadi yang dia tidak tahu.
Biarpun dianggap ketinggalan zaman, Chen yakin BlackBerry mampu
mencatat keuntungan bahkan memberi contoh harga saham syarikat itu di
bursa Toronto, Kanada ketika dia baharu menerajui tahun lalu hanya C$6
(RM18) dan kini sudah pun mencecah C$13 (RM39).
BlackBerry masih digemari kebanyakan ahli perniagaan, tokoh politik
dan artis terkenal yang tegar taip teks antaranya Kim Kardashian malah,
semua presiden Amerika Syarikat menggunakan BlackBerry kerana ia lebih
selamat daripada dipintas atau digodam. – Agensi
John Chen memegang Passport, model terbaharu BlackBerry yang bakal menyaingi kehebatan produk telefon pintar Samsung di Kanada baru-baru ini. |