Dalam tempoh dua tiga hari ini, memang kecoh di laman-laman sosial apabila video dan gambar keadaan langit di sekitar Masjidil Haram, Makkah dan sekitar Jeddah tiba-tiba gelap bagai malam walaupun waktunya masih tengahari.
Ada yang mendakwa kononnya hari nak kiamat. Ada yang menyatakan pintu taubat Allah SWT sudah tertutup. Ada pula yang menyebar spekulasi mengikut persepsi sendiri meskipun mereka sendiri tidak pernah menjejak kaki bumi Makkah!
Peliknya di saat fenomena itu berlaku, barulah teringat tikar sembahyang. Barulah mula menadah doa memohon keampunan. Barulah hati tiba-tiba sebak mengenang dosa yang banyak dan pahala yang tak seberapa? Tahu takut...
Sebetulnya, fenomena yang kononnya menggemparkan umat Islam di Malaysia itu adalah merupakan satu fenomena biasa saja yang sering berlaku di Al-Haramain, Makkah dan Manidah.
Menurut mereka yang sudah sekian lama menetap di dua tanah suci itu, kejadian yang dikecohkan rakyat Malaysia itu sebenarnya terjadi setiap kali berubah musim dan merupakan satu perkara yang biasa di sana. Kita pula yang "lebih-lebih", kan?
Berikut adalah kenyataan dari sumber laman Facebook, Cerita kami di bumi Haramain, bagi menjelaskan apa yang berlaku. Harap jangan panik...
Bismillah..
Wassolatu wassalamu 'ala rosulillah..
Saya menerima banyak pertanyaan tentang berita bahawa Mekah dan Jeddah dilanda kejadian pelik. Ia telah tersebar dengan meluas di fb dan whatsapp.
Saya puji sikap mereka yang kritis akan berita-berita sebegini. Segera bertanya orang yang mereka yakini. Tidak terus percaya. Apatah lagi menyebarkannya tanpa mahu memeriksa.
Saya tegaskan. Tiada yang peliknya Mekah atau Jeddah hujan lebat. Langit merah, gelap dan sebagainya. Boleh dikatakan setiap kali bertukar musim keadaannya begitu. Petanda haramain sekarang ini sedang menuju musim sejuk. Madinah juga hujan. Apa yang peliknya?
Ianya soal sikap. Suka men'viral'kan perkara-perkara begini. Mahu populariti. Bukan sekali dua. Sudah banyak berita-berita begini yang sampai kepada kita.
Sebelum ini, tersebar imam masjidil haram, syeikh Abdurrahman Sudais meninggal. Walhal beliau masih hidup dah baru sahaja selesai mengimamkan solat. Tahun lepas berita sama juga. Orang sebar sana sini. Tahun ini ulang lagi. Tahun depan tidak hairan dapat lagi. Berapa kali syeikh Sudais mahu meninggal?
Sikap suka sebar tanpa kaji berita itu benar atau tidak adalah salah! Tidak sepatutnya berlaku.
Syabas kepada yang merujuk kami di page ini atau dimana-mana sumber. Tahniah kerana bersikap seperti yang diajarkan dalam al-quran.
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"
Al-hujurat : Ayat 6