Hampir dua tahun hidup menduda, akhirnya chef selebriti terkenal Chef
Riz membuat keputusan menikahi kakak kepada pelakon Emma Maembong iaitu
Shikin Maembong, dijadualkan pada Disember ini.
Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan, 32, berkata,
majlis meminang kekasihnya itu akan dilakukan pada Selasa (esok).
“Insya-Allah, esok saya akan menghantar rombongan merisik dan
meminang Shikin. Kami merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini
iaitu Disember.
“Kami buat majlis secara sederhana sahaja kerana ini perkahwinan
kedua saya. Kemungkinan kami hanya buat majlis nikah sahaja dan
bersanding pada tahun hadapan,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online,
di sini, Isnin.
Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Chef Wan berkata demikian ketika
diminta mengulas tentang gosip dia dan pasangannya bakal berkahwin
dalam masa terdekat.
Sementara itu katanya, keputusan untuk mengadakan majlis meminang dan
pernikahan bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya mencari masa
lapang ayahnya, Chef Wan dan ayah kekasihnya Ismail Embong.
“Ia bukan tergesa-gesa atau ada sebab tertentu tetapi kerana saya
tunggu masa Chef Wan yang selalu sibuk dan masa ayah Shikin untuk kami
datang meminang. Sepatutnya kami rancang pada bulan April lalu, namun
banyak sangat kekangan dan terpaksa ditangguhkan sehingga Disember.
“Kalau ikutkan saya yang sudah status duda ini boleh sahaja datang
meminang sendiri, tetapi fikir balik lebih elok saya ikut adat dan kena
tunggu masa yang sesuai,” ujarnya.
Sementara itu, Chef Riz berkata, dia ingin majlis tersebut berlangsung secara sederhana tanpa sebarang liputan media.
Katanya, kegagalan perkahwinan lalu menyebabkan dia serik untuk berkongsi hal peribadi kepada umum.
“Saya mahu majlis perkahwinan berlangsung secara sederhana dan
dihadiri keluarga sahaja kerana peristiwa perkahwinan lalu banyak
memberi pengajaran pada saya,” ujarnya.
Pasangan ini dilaporkan bercinta sejak dua tahun lalu. Shikin berumur 31 tahun.
Sebelum ini Chef Riz pernah berkahwin dengan pelakon Ana Dahlia pada
11 Disember 2011 namun hubungan itu tidak kekal lama apabila
kedua-duanya berpisah pada November 2012. – mStar