Cheng Hoe Umum Sasar Skuad Hijau Kuning Ke Liga Super #HijauKuning #PuluhKedahPulun

KUALA LUMPUR – Pasukan Kedah masih mencari pemain berkualiti untuk memperkuatkan pasukan itu bagi merealisasikan harapan penyokong yang mahu skuad hijau kuning layak ke Liga Super 2016 dalam saingan musim depan.

Pengendali pasukan bola sepak Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, beliau faham penyokong Kedah meletak harapan tinggi mahu melihat pasukan mereka mencatat kejayaan itu.

“Pengurusan masih lagi mencari pemain untuk menguatkan pasukan. Ia (layak ke Liga Super 2016) memang satu tugas berat tetapi bukan mustahil.

“Kita perlu mencari pemain yang sesuai dengan bajet Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA),” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Cheng Hoe dalam pada itu memaklumkan, pemain Kedah yang menunjukkan aksi konsisten pada musim ini akan dikekalkan manakala yang tidak konsisten terpaksa dilepaskan.

Menurutnya, hal itu lumrah bagi pemain bola sepak apabila ada pemain keluar dan masuk namun beliau yakin dengan bakat-bakat baru yang dipilih dari skuad Piala Presiden Kedah.

Justeru, beliau percaya skuad hijau kuning dijangka dapat menyenaraikan skuad penuh untuk mengharungi cabaran musim depan pada penghujung bulan ini.

Pasukan Kedah membuat penampilan hebat dalam saingan Piala Malaysia baru-baru ini apabila layak ke peringkat separuh akhir malah berjaya menewaskan juara bertahan Pahang di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, skuad hijau kuning tumpas dalam perlawanan timbal balik di Stadium Darul Makmur selepas seorang pemain importnya dikasari dan terpaksa dikeluarkan dari padang akibat mengalami kecederaan teruk.