China Beri Amaran Penipuan Produk Tiruan Di Singapura

Kompleks Sim LIm Square terkenal dalam kalangan pelancong asing untuk membeli produk elektronik terbaharu di Singapura.
SINGAPURA – Selama ini kita biasa mendengar peringatan agar berhati-hati apabila membeli produk buatan China kerana bimbang ia adalah tiruan, tidak berkualiti dan sebagainya walaupun dijual pada harga harga murah, tetapi ini lain pula ceritanya.

Kedutaan China di sini hari ini mengeluarkan amaran kepada rakyat republik komunis itu supaya berwaspada daripada ditipu ketika mahu membeli sebarang model telefon bimbit dan produk elektronik lain di Singapura, lapor stesen televisyen tempatan, Channel News Asia.

Agensi penyiaran tersebut memetik kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar China di Beijing bertarikh semalam yang disiarkan menerusi laman web kedutaan itu di Singapura sebagai berkata, ramai rakyat China sudah pun menjadi mangsa skim penipuan berkenaan.

Menurut pejabat perwakilan diplomatik China berpusat di Tanglin Road itu, sebahagian besar warga China yang datang ke Singapura sebagai pelancong banyak mengadu membeli barangan tiruan terutama telefon bimbit model baharu selain produk elektronik canggih.

Kedutaan menasihatkan rakyat China agar sentiasa peka membaca notis peringatan yang ditampal di papan kenyataan mana-mana pusat-pusat beli-belah sekitar Singapura yang sering menerima aduan penipuan sedemikian sebagai panduan ketika berurus niaga.

Banyak notis terbabit dapat dilihat akhir-akhir ini susulan rungutan ramai pelancong Vietnam mendakwa menjadi mangsa beberapa buah kedai di kompleks beli-belah Sim Lim Square yang terkenal dengan pelbagai produk elektronik dalam kalangan warga asing. – Agensi