BEIJING – Saintis China dilaporkan berjaya membangunkan sejenis
senjata canggih yang mampu menembak laser secara paling tepat sehingga
jarak 2 kilometer termasuk ke atas pesawat kecil tanpa juruterbang atau
drone milik tentera Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita rasmi Xinhua baru-baru ini melaporkan,
sistem teknologi terbaharu itu dibangunkan Akademi Kejuruteraan Fizik
China serta berupaya menembak jatuh drone seawal 5 saat sebaik pesawat
saiz ultra mini tersebut dikesan dan terus dikunci sasaran.
Xinhua turut menunjukkan beberapa imej bangkai drone hangus terbakar
hasil tembakan senjata rahsia China itu serta dikatakan efektif jika
pesawat peninjau tersebut terbang pada ketinggian 500 meter dari bumi
dan terbang dalam kelajuan 180 kilometer sejam.
Yi Jinsong, pengurus Jiuyuan Hi-Tech Equipment Corp., salah sebuah
firma di bawah akademi itu berkata, senjata tersebut boleh dipasang pada
apa-apa jenis kenderaan dan ia berjaya menembak jatuh lebih 30 buah
drone dengan kadar kejayaan 100 peratus.
“Biasanya tugas memintas drone tentera musuh atau pengganas dilakukan
askar penembak tepat di darat atau helikopter tentera udara namun ia
kurang berkesan malah sering berlaku kesilapan sekali gus membazirkan
wang dan tenaga,” kata Jinsong. - AFP / CNA