Proses mendaftarkan pengundi baru oleh UMNO dilihat jauh ketinggalan
berbanding parti DAP dalam tempoh Jun tahun lepas hingga September tahun
ini.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata demikian
mengambil data dari pangkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika
menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 di
Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
“Dalam pangkalan data SPR, dari Jun 2013 hingga September
2014, bimbang saya data ini, UMNO berjaya mendaftarkan 5,939 orang
tetapi DAP berjaya mendaftarkan 9,309,” katanya.
Statistik berkenaan menunjukkan prestasi parti komponen dalam
Barisan Nasional (BN) MCA, MIC dan Gerakan lebih teruk kerana hanya
berjaya mendaftarkan kurang daripada 1,000 pengundi baru.
“Parti-parti komponen cukup membimbangkan, MCA 256, MIC 266 dan Gerakan hanya 373.” kata Mohd Shafie.
Menurut beliau, Presiden UMNO telah pun mengarahkan beliau yang juga
Pengerusi Jawatankuasa Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO untuk
memanggil semua parti-parti komponen untuk memastikan gerakan bertaraf
nasional mendaftar pengundi dilakukan.
“Saya juga telah memberikan taklimat di seluruh bahagian di
seluruh negara termasuk parti komponen untuk memastikan gerakan ini
dapat dijayakan.
“Menambah jumlah undi bukan setakat menambah ahli UMNO untuk
menang di peringkat Bahagian dan Cawangan.. Ini penting, survival parti
bukan berlandaskan dengan laungan tetapi gerakan kerja, amanah, mengukur
manusia bukan dengan ucapan tetapi perbuatan itu kebenarannya,”
katanya.
Mohd Shafie berkata untuk tujuan itu juga Presiden UMNO Datuk Seri
Najib Tun Razak sudah mengumumkan proses pendaftaran ahli UMNO secara
online yang akan disediakan dalam masa terdekat.
Hari ini merupakan hari terakhir PAU 2014 dengan ucapan penggulungan
ketiga-tiga sayap oleh Ketua Pergerakan masing-masing, penggulungan tiga
Naib Presiden, Timbalan Presiden UMNO dan Najib.