Zamri Vinoth |
SHAH ALAM - Moto berdakwah adalah ‘Just Do It, bukan Just duit,’
demikian menurut Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia, Zamri
Vinoth.
Zamri berkata, tugas berdakwah adalah tugas setiap umat Islam, jadi
umat Islam tidak perlu mengharapkan apa-apa ‘habuan’ daripada apa yang
telah mereka lakukan.
“….bilamana kita buat (berdakwah), jangan takut buat silap tapi takut untuk ulangi kesilapan.
“Macam mana kita hendak buat kalau kita takut,,,kita takut silap, sebenarnya kesilapan mengajar kita agar jadi lebih bagus.
“Berdakwah ada objektif iaitu ingin mengajak manusia selamat di
akhirat..jadi kita fikir objektif itu sahaja, berdakwah dulu…jangan
fikir pulangan, kerana ada ‘pulangannya’ nanti,” katanya menerusi siri
Wacana Cabaran dakwah di Malaysia di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Dalam pada itu menyentuh mengenai perkembangan cara berdakwah kini,
Zamri berkata, corak berdakwah sekarang perlu pembaharuan kerana ada
ketikanya cara tersebut sudah ketinggalan zaman.
“Zaman Rasullulah dahulu dakwah sudah kontemporari, tetapi kini kita masih membuat dakwah cara lama.
“Jadi kita perlu tukar pendekatan kita, bayangkan cara ceramah yang
terlalu lama, ianya kadangkala tidak praktikal, pendengar hanya akan
memberi fokus dalam lima belas minit sahaja, yang selebihnya mereka akan
hilang fokus.
“Untuk itu satu kajian Research and Development (R&D) perlu
dilakukan bagi memastikan objektif dakwah di negara ini tercapai selaras
dengan perkembangan zaman sekarang,” katanya. -Sinar Harian