KUALA LUMPUR – DAP menyelar rancangan Kelantan mahu menggunakan
gilotin bersaiz mini, alatan kuno untuk memotong anggota badan manusia
bagi pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu.
Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, cadangan itu
sekadar menunjukkan obsesi PAS Kelantan untuk melaksanakan kaedah tidak
berperikemanusiaan itu.
“Seperti kebanyakan penyokong lain hak asasi manusia, saya telah
berkempen supaya mengurangkan penggunaan hukuman kejam seperti hukuman
mati dan hukuman sebat kehakiman.
“Malaysia tidak perlu ditambahkan lagi dengan bentuk hukuman kejam.
Penentangan terhadap kaedah hukuman yang zalim telah diterangkan
berkali-kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chin Tong berkata, cadangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal
Hudud Kelantan, Datuk Mohd Amar tidak akan membawa sebagai kebaikan
kepada negara.
Media hari ini melaporkan kerajaan Kelantan dijangka akan menggunakan
gilotin bersaiz mini, alatan kuno untuk memotong anggota badan manusia,
bagi pelaksanaan undang-undang hudud.
The Star melaporkan, langkah itu diambil ekoran tidak perlu menggunakan pakar bedah untuk tujuan itu.
Jawatankuasa Teknikal Hudud negeri itu memilih gilotin setelah
dikatakan menghadapi kesukaran mencari kaedah paling sesuai untuk
memotong anggota badan seseorang yang disabitkan kesalahan mencuri.
Pengerusinya, Datuk Mohd Amar dilaporkan berkata, beliau mungkin akan
mencadangkan kepada ahli panel agar menggunakan mesin yang tidak perlu
dikendalikan pakar bedah.
Sumber: Mynewshub.cc