Kuala Lumpur - "Saya hanya ambil makanan ringan seperti coklat untuk tahan lapar selain tidur di stesen kereta api,” kata penuntut Sarjana Syariah, Fakulti Akademik Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Meor Farid Asyradi Meor Zahidi, 24.
Dia berkata demikian ketika menceritakan pengalaman mengembara ke 20 negara di Eropah secara solo pada cuti semesta pengajian dengan hanya berbekalkan RM7,500, pada Mac lalu.
Meor Farid berkata, dia `ikat perut’ untuk melihat ciptaan Allah SWT di Sweden, England, Scotland, Denmark, Jerman, Austria, Romania, Bulgaria, Turki, Serbia, Bosnia, Hungary, Switzerland, Perancis, Belanda, Belgium, Norway, Croatia, Itali dan Finland.
Menurutnya, dia kini sudah mengembara ke 34 negara dan kos perjalanannya diperoleh daripada hasil mengendalikan kelas tuisyen, menjadi koordinator dan fasilitator serta mengadakan persembahan nasyid.
"Bagi mengurangkan risiko, saya hanya makan coklat pada waktu tengah hari dan malam selain tidur di mana-mana setesen kereta api untuk memudahkan perjalanan pada keesokan harinya.
"Saya juga pernah cuba disamun ketika berada di Romania. Namun, Alhamdulillah...saya berjaya menyelamatkan diri. Kejadian itu juga tidak menghalang untuk saya terus menjelajah ke negara lain pula di masa akan datang," katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, semalam.
Meor Farid berkata, minatnya untuk mengembara itu timbul selepas menjadi koordinator Program Swedish Muslim-Academics-APIUM Summer Camp di UM, kira-kira empat tahun lalu.
"Ketika ini, minat saya kumpul duit untuk mengembara. Apabila cukup wang, saya memanfaatkan cuti semesta pengajian dan mengembara ke luar negara. Saya sudah melakukannya sejak empat tahun menuntut ilmu di UM. Saya juga pernah melawat China, Mesir, Indonesia, Singapura, Thailand, Korea, Sri Lanka, Arab Saudi dan Brunei,” katanya.
Menurutnya, hasrat menjelajahnya kian kuat apabila dia menanamkan semangat berteraskan tema `Dengan lafaz Basmallah, Aku Menjelajah’. -myMetro