(Gambar Hiasan) |
SUSAH hendak mempercayai dalam peradaban manusia yang semakin maju seperti sekarang, masih berlaku kisah membabitkan kebencian yang amat mendalam sehingga sanggup menyeksa darah daging sendiri.
Ingatkan kisah seperti ini hanya berlaku dalam filem 50-an dahulu, mengenai penyeksaan ibu tiri terhadap anak tiri, mentua terhadap menantu, kekejaman yang tidak tercapai dek akal memikirkannya.
Perbualan santai bersama seorang peragawati yang ditemubual bagi satu ruangan di Utusan baru-baru ini, berubah kepada perbualan yang diiringi dengan juraian air mata.
Begitu terkesan di jiwanya mengingatkan peristiwa silam yang menghiris jiwa. Jika tidak, masakan dia mampu mengalirkan air mata sehingga bagaikan tidak dapat disekat lagi.
Cerita Ariza (bukan nama sebenar), dia merupakan anak keempat daripada lima beradik. Berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air, bapanya merupakan pesara kerajaan sementara ibunya adalah suri rumah.
Mengikut cerita ibunya, mereka berkahwin kerana nenek sebelah ibu begitu berkenan dengan bapa untuk dijadikan menantu. Akhirnya kedua-duanya telah diijabkabulkan.
Ibunya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada masa itu iaitu sekitar tahun 80-an, dengan kelulusan tersebut mudah mencari pekerjaan. Bagaimanapun, desakan nenek yang mahu ibu berkahwin tidak mampu untuk dibantah.
Kata Ariza, setelah berkahwin, baru ibunya tahu bahawa bapanya adalah seorang kaki perempuan dan asyik bertukar teman wanita seperti lelaki bujang. Lebih teruk pantang ditanya ibunya akan teruk dipukul.
“Kami adik beradik sudah biasa melihat ibu dipukul. Ibu merupakan seorang yang penyabar. Mungkin dia terpaksa bersabar kerana memikirkan dia sendiri tidak bekerja dan anak-anak sudah ramai.
“Walaupun sudah mempunyai lima orang ana, perangai bapa tidak pernah berubah. Malah ada perempuan yang sanggup datang ke rumah mencari bapa dan ada juga yang menelefon ibu memberitahu mengenai hubungannya dengan bapa saya.
“Ibu saya makan hati. Dia sedih namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana jika buka mulut sahaja dia akan dipukul tidak kira walau di depan anak. Sudahlah begitu, ibu langsung tidak dibenarkan balik ke kampung untuk berjumpa nenek walaupun nenek sedang sakit.
“Satu hari kerana tidak tahan lagi teringatkan nenek yang sakit tenat, ibu pulang ke kampung bersama kami semua. Mengetahui perkara ini, bapa terus menyusul ibu dan memarahi ibu di depan saudara-mara dan jiran tetangga di rumah nenek. Di situ juga bapa menceraikan ibu.
“Seminggu selepas itu, nenek meninggal dunia. Ibu bertambah sedih kerana kehilangan orang yang paling disayangi dan tempat mengadu,” kata Ariza sambil menyapu air mata yang deras mengalir pada pipi.
Sambungnya, bagaimanapun dua bulan selepas itu, bapanya datang menjemput ibunya dan ingin rujuk. Ibunya menerima setelah dipujuk oleh saudara-mara.
Ingatkan selepas itu perangai bapa akan berubah, sebaliknya dia tetap dengan perangai lama. Bapanya langsung tidak memikirkan dosa akan perbuatannya atau berasa kasihan terhadap isteri dan anak-anak.
Ujar Ariza lagi, bapa jarang pulang ke rumah dan ibulah yang membesarkan anak-anak sendirian dengan perbelanjaan yang sedikit untuk membeli makanan atau belanja sekolah anak-anak.
“Tiba-tiba ibu jatuh sakit. Sakit yang teruk sekali. Hatinya membengkak dan orang peranakan seperti dihiris buluh tajam. Ibu pergi ke hospital dan doktor mengatakan ibunya dihinggapi penyakit kelamin.
“Kasihan ibu. Kerana perbuatan bapa yang kaki perempuan menyebabkan ibu yang menanggung azab. -Utusan
“Ibu mendapatkan rawatan dan terpaksa tinggal beberapa bulan di hospital. Oleh kerana tiada siapa yang boleh menjaga kami, maka kami adik beradik telah dihantar tinggal dengan nenek sebelah bapa.
“Di sinilah bermula kisah kami adik-beradik diseksa oleh nenek dan makcik serta pakcik kami (adik beradik bapa).
“Kakak sulung saya ketika berumur sembilan tahun dan abang lapan tahun. Saya pula baharu berumur enam tahun dan adik bongsu dua tahun. Setiap hari kakak dipaksa masak nasi, sementara saya, abang dan adik turut dipaksa membuat kerja rumah yang lain seperti menyapu sampah di laman, membasuh dan melipat baju.
“Belanja sekolah hanya diberi 20 sen sahaja. Jika telah diberi belanja sekolah kami tidak dibenarkan makan nasi di rumah. Abang menyuruh kami tidak mengambil belanja sekolah supaya kami dapat makan nasi di rumah kerana duit tersebut tidak cukup pun untuk membeli sebungkus nasi lemak.
“Mengenai kakak, dia pernah diseksa nenek kerana nasi yang dimasak hangus. Dia yang baru berusia sembilan tahun sudah dikerah masak nasi hampir setiap hari sedangkan makcik saya yang berumur 17 tahun langsung tidak jejak dapur. Malah makcik boleh pergi berjumpa kawan-kawannya dan pergi berjalan-jalan.
“Dijadikan cerita, selepas menjerang nasi, kakak terleka kerana melihat kanak-kanak lain sedang bermain di halaman rumah. Nasi yang dimasak hangus dan di depan mata saya nenek naik angin dan menyentap rambut kakak lalu mengheretnya ke dapur. Nenek memaki hamun kakak dan menyumbat mulut kakak dengan kain buruk. Nenek juga memukul dan menampar kakak. Menjerit-jerit kakak menangis kesakitan.
“Adik bongsu juga pernah diseksa teruk. Masa itu adik mengejutkan kakak daripada tidur kerana hendak terkencing. Nenek memang sudah pesan supaya jangan membuka lampu kerana nanti dia tidak boleh tidur, tetapi semasa sedang berjalan dalam gelap adik terjatuh dan menangis. Nenek terus bangun dan mengamuk. Dia mengambil lesung yang digunakan untuk menumbuk kopi dan menyumbatkannya ke dalam mulut adik,” cerita Ariza.
Katanya lagi, akibat semua peristiwa pahit dan menyedihkan itu, ibunya kini mengalami masalah kemurungan yang teruk.
Sebenarnya masalah kemurungan itu telah dialami sejak mereka masih sekolah lagi tetapi dapat dikawal. Nenek yang membenci ibu sanggup menelefon hospital sakit mental menyuruh ibu dimasukkan ke hospital.
Ujarnya, kini setelah adik beradik dewasa dan berjaya dalam akademik, mereka membawa ibu ke pejabat kadi dan memohon fasakh.
Jika selama ini permohonan untuk bercerai tidak dibenarkan, namun setelah mendengar cerita daripada mereka adik-beradik, permohonan tersebut diluluskan malah ustazah di situ turut menangis.
“Bapa kami kini tinggal bersama nenek. Dia tidak berkahwin lain walaupun dahulu kaki perempuan. Bapa langsung tidak menjenguk kami. Nenek yang kini berusia 97 tahun dan masih sihat, tidak pernah menunjukkan rasa menyesal menyeksa cucu-cucunya,” katanya geram.
Ariza kini merupakan seorang akauntan berjaya dan berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang kaya. Kakaknya pula bekerja sebagai doktor, abangnya pegawai tentera dan adik bongsunya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan.
Ibunya yang kini kemurungan dijaga dengan baik oleh mereka adik beradik. Puas dibawa berubat dengan ustaz mahupun doktor psikologi, namun masalah kemurungannya sukar hendak disembuhkan .
Semoga Allah memberikan rahmat kepada ibu Ariza dan sembuh suatu hari nanti agar bersama-sama menikmati hari-hari tuanya bersama anak-anak yang sangat disayanginya.