Dr Mahfodz Pertahan Presiden PAS, Bidas Sindiran Guan Eng

Maruah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan badan tertinggi parti itu, Majlis Syura Ulama PAS, terbela menerusi kenyataan tegas Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, yang tampil membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tegas Dr Mahfodz, merujuk pada perlembagaan parti itu, Presiden PAS mempunyai kuasa dan hak untuk membuat keputusan lain walaupun keputusan berkenaan berbeza daripada keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

"Jadi sekiranya Presiden membuat keputusan, sudah tentu ia dirujuk kepada Majlis Syura, bukan pandangannya sendiri.

"Kalau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat buat keputusan, Majlis Syura Ulama boleh keluar dengan keputusan lain. Ini kerana, Majlis Syura Ulama mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Dr Mahfodz sekali lagi menekankan pada Guan Eng dan mana-mana pemimpin PAS yang masih "buta perlembagaan PAS" dengan menegaskan bahawa Majlis Syura Ulama lebih tinggi kedudukannya berbanding Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Beberapa Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum ini mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang mengharamkan ahli parti dari menyertai pertubuhan PasMa.

Antara yang mempersoal keputusan Ahli Majlis Syura PAS itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, dan Presiden PasMa merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Guan Eng sebelum ini dikatakan menyindir PAS ketika berucap di Konvensyen DAP berkaitan sikap Presiden sebuah parti dalam PR yang menolak keputusan jawatankuasa parti itu yang dipercayai merujuk pada PAS dan Abdul Hadi.

Meskipun Guan Eng tidak menyebut nama parti itu, namun dipercayai ia merujuk kepada Pas berhubung krisis Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

Membidas Ketua Menteri Pulau Pinang yang banyak merobohkan kampung-kampung tradisi di Pulau Mutiara itu, Dr Mahfodz memberi amaran supaya dia "menjaga tepi kain parti sendiri" sebelum "menjaga tepi kain parti lain".

"DAP sendiri memiliki badan tertinggi parti yang berbeza. Jadi jangan samakan dengan PAS kerana perlembagaan setiap parti berlainan," katanya menyindir pedas Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) itu. -KedahNews.com