Jika pemegang minoriti MAS tolak?

#MAS4Malaysia
Selepas 29 Ogos lalu, apabila pengumuman pelan pemulihan Khazanah Nasional terhadap Malaysian Airline System Bhd., (MAS), desas-desus cerita pengambilalihan itu beransur-ansur semakin reda sehingga hari ini. Orang ramai bagaikan tidak lagi peduli, malah menyerahkan kebijaksanaan kepada Khazanah untuk mengurus masalah syarikat penerbangan negara ini.

Khazanah sudah mengumumkan 12 perkara pelan pemulihan untuk MAS. Khazanah yang memiliki 69.4% kepentingan MAS itu mengumumkan akhir Ogos lalu ia akan membeli 30.4% kepentingan dalam MAS yang belum dimilikinya, di bawah cadangan belian balik saham pada harga 27 sen sesaham, yang akan melibatkan kos berjumlah RM1.38 bilion untuk memulakan proses penstrukturan semula syarikat.

Cabang pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu telah mengumumkan satu pelan yang radikal untuk me­­­­­­­mulihkan MAS yang memerlukan pengurangan pekerja, suntikan modal sehingga RM6 bilion dengan RM3 bilion diperuntukan kepada penubuhan sebuah syarikat baharu (Newco) untuk menjalankan perniagaan syarikat penerbangan itu, RM1.38 bilion diperuntukkan untuk membayar saham pemegang minoriti sebagai sebahagian proses dinyahsenarai MAS daripada Bursa Malaysia dan selebihnya untuk penstrukturan dan kos pemberhentian pekerja.

Langkah tersebut bertujuan mengembalikan keuntungan syarikat penerbangan negara dalam tempoh tiga tahun dinyahsenarai.

Khamis ini, 6 November 2014 akan berlangsung mesyuarat agung luar biasa (EGM), dengan para peme- gang saham minoriti akan mengundi sama ada untuk me- nerima ataupun menolak tawaran Khazanah membeli saham mereka pada harga 27 sen.

Ada beberapa kemungkinan yang boleh kita lihat daripada keputusan mereka nanti.

Pemegang saham minoriti MAS mungkin tidak akan memperoleh apa-apa jika mereka menolak tawaran 27 sen sesaham itu. Sebelum ini pun banyak penganalisis saham mengulas isu ini. Pada mereka, lebih baik “menerimanya walaupun sukar” dan sekurang-kurangnya pemegang saham minoriti mendapat semula sebahagian daripada pelaburan itu.

Mereka kena fikirkan sekiranya MAS bukan lagi menjadi entiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pemegang saham minoriti sedia ada akan kehilangan semua pelaburan mereka.

Khazanah

Sekurang-kurangnya dengan adanya Khazanah yang ‘berkorban’ campur tangan, ia menun­juk jalan keluar daripada kemelut kerugian dan tragedi MH370 dan MH17 yang melanda MAS. Maka, pemegang saham minoriti usah terlalu kecewa ditawarkan 27 sen sesaham itu – terlalu rendah untuk mereka, tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat semula seba­hagian daripada pelaburannya.

Oleh kerana tiada mana-mana pihak yang berani berdepan dengan cabaran dan mampu untuk me­nyelamatkan MAS, maka tiada alasan kukuh lain bagi pe­megang saham minoriti untuk menolak tawaran tersebut.

Hakikat situasi MAS seka­rang yang tenat, adalah sukar untuk mereka mendapat nilai yang lebih tinggi bagi saham mereka. Pemengang saham minoriti sebenarnya tidak mempunyai pilihan kecuali menerima tawaran tersebut. Jika MAS gagal dan tanpa bantuan daripada Khazanah, pemegang saham minoriti juga tidak akan mendapat apa-apa pulangan.

MAS dalam pekelilingnya bertarikh 15 Oktober 2014 menggesa pemegang saham minoritinya untuk menerima harga tawaran 27 sen oleh Khazanah untuk penswastaan syarikat penerbangan itu. Tu­juannya bagi memberi laluan kepada pelan pemu­lihan MAS.

Jika tawaran ini diterima oleh pemegang minoriti, MAS akan dinyahsenaraikan dan menjadi milik penuh Kha­zanah Nasional untuk melaksanakan 12 pelan penstrukturan ke atas syarikat penerbangan negara.

MAS akan terus beroperasi dengan suntikan dana daripada Khazanah dan turut memberi faedah kepada pemegang minoritinya. Pada pandangan kasar seolah-olah hala tuju MAS terletak di bahu pemegang saham minoritinya, dan kenyataan sokongan “Ya” MAS boleh mene- ruskan pen­strukturan semula. Apa yang lebih bermakna daripada penerimaan tawaran Khazanah oleh pemegang minoriti itu nanti bukan sahaja ‘kelangsungan hidup’ MAS sebagai sebuah syarikat serta kakitangannya tetapi ia juga memberi nafas kepada beribu-ribu bumiputera yang bernaung di bawah payung MAS.

Banyak program Agenda Pemerkasaan Bumiputera melibatkan pihak MAS. Antaranya ialah memasukkan tenaga kerja bumiputera ke dalam syarikat penerbangan kebangsaan itu menerusi Skim Latihan 1Malaysia. Syarikat ini juga menjalin kerjasama dengan Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra).

Jika pemegang minoriti memilih tidak menerima tawaran Khazanah nanti, bermakna program agenda pemerkasaan bumiputera berkemungkinan ter­gen­dala ataupun terbengkalai. Bukan itu sahaja, kesannya turut menjejas peranan MAS dalam membangunkan tenaga mahir dalam industri penerbangan dan perkhidmatan.

Sejak nama MAS berterbangan di serata dunia, ia menjadi pilihan juruterbang bumiputera, jurutera dan juruteknik pesawat yang dilatih di kolej tempatan untuk menabur bakti dengan berkhidmat di bawah MAS. Syarikat ini juga menjadi GLC pertama yang me­ngambil bahagian dalam program sekolah angkat PINTAR sejak Januari 2007 dan kini mengambil 23 sekolah di seluruh Malay­sia sebagai sekolah angkat.

Jadi keputusan untuk menerima tawaran itu amat-amat penting bukan sahaja kepada pemegang saham minoriti MAS tetapi juga peranan tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakannya selama ini. Fikirkan jika pemegang saham tolak tawaran Khazanah Khamis ini! -Utusan