Eksklusif! "Hanipa Maidin Lidah Bercabang", Dakwa Penyokong PAS

Ahli Parlimen (PAS) Sepang, Hanipa Maidin, diselar penyokong parti dan disifatkan sebagai "lidah bercabang" ekoran tindakannya yang mempertahan pertubuhan Sister In Islam (SIS) bersama dua lagi Ahli Parlimen PAS, Khalid Samad (Shah Alam) dan Mujahid Rawa (Parit Buntar).

Memaparkan sebuah grafik berbentuk poster, penyokong PAS itu menunjukkan bukti Hanipa pernah mendesak Kerajaan dan pihak berkuasa agama supaya mengharamkan SIS di Malaysia dalam satu kenyataan pada April 2005.

Namun kini, penyokong PAS itu kesal dengan tindakan Hanipa yang bertentangan arah apabila Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat itu mempersoal tindakan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang menggazetkan pengharaman terhadap SIS dan pendokong fahaman liberalisme dan pluralisme. 

"Hanipa Maidin lidah bercabang.
 
"Dahulu minta mengharamkan Sisters In Islam (SIS). Sekarang Hanipa Maidin pula yang "backup" Sisters In Islam (SIS)," tulis penyokong tegar PAS tersebut di akaun Facebooknya, El-Haraki.

Majlis Fatwa Negeri Selangor baru-baru ini mengeluarkan fatwa mengharamkan SIS dan mana-mana individu, kumpulan atau pertubuhan yang mendokong fahaman liberalisme atau pluralisme dalam Islam.

Fatwa berkenaan turut disokong oleh ramai ulama muktabar negara dan Dewan Pemuda PAS Pusat juga memberikan sokongan seratus peratus terhadap fatwa berkenaan yang disifatkan tepat dalam memelihara kesucian aqidah umat Islam di Malaysia.

Khalid pada 7 Jun 2009 di Muktamar Tahunan PAS ke-55 mengusulkan supaya melakukan siasatan terhadap SIS dan seterusnya mengharamkan pertubuhan itu atas dakwaan berfahaman liberal.

Usul Khalid itu diterima sebulat suara tanpa dibahas.

Bagaimanapun, Hanipa, Khalid dan Mujahid dalam satu sidang akhbar telah mempertikai dan mempersoal kewajaran fatwa berkenaan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong PAS terhadap mereka bertiga.

Poster yang disebarkan penyokong PAS
Sister In Islam merupakan sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh Aminah Wadud pada tahun 1988 sebelum disahkan sebagai NGO antarabangsa dan dia kemudiannya dianggap sesat oleh ulama Sunnah Wal Jamaah.

Aminah dilaporkan tidak bersetuju dengan beberapa ayat Al-Quran, khususnya terutama berhubung hukuman memotong tangan pencuri dan dia menegaskan bahawa tindakan memotong tangan merupakan perbuatan yang ganas.

Atas pendiriannya dalam tafsiran menolak Al-Quran, Aminah turut mencetus kontroversi pada tahun 1994 dengan menyampaikan khutbah Jumaat dan bertajuk Islam as Engaged Surrender di Masjid Claremont Main Road di Cape Town, Afrika Selatan, yang mencetus kemarahan ulama sedunia.

Sister In Islam di Malaysia diketuai beberapa tokoh wanita termasuk anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Datuk Seri Paduka Marina Mahathir.