Eksklusif! Hanipa, Mujahid, Khalid Wajib Dikenakan Tindakan Disiplin!

Tiga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat diselar para penyokong PAS ekoran tindakan mereka mempertahan sebuah NGO, Sister In Islam (SIS), yang mengaku mendokong fahaman liberalisme dan pluralisme, baru-baru ini.

Kata mereka, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin perlu dikenakan tindakan tatatertib kerana memalukan PAS.

Penyokong akar umbi PAS yang kuat "membersihkan" parti itu dari anasir fahaman liberal dan pluralisme menegaskan Mujahid, Khalid dan Hanipa, tidak peduli pada ketetapan usul Muktamar PAS pada tahun 2009 sebelum ini.

Dalam ketetapan usul itu, muktamar tahun itu sebulat suara memutuskan untuk "mendesak pihak kerajaan supaya mengharamkan SIS".

"HANIPA, MUJAHID & KHALID SAMAD WAJIB DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN.

"1- Adakah 3 MP PAS yang bergelar AJK PAS Pusat tersebut tidak tahu adanya satu usul berkait Sisters In Islam (SIS) telah diluluskan oleh Muktamar PAS 2009?

"2 - Sudah jelas 3 MP PAS tersebut telah melanggar usul yang telah diluluskan oleh Muktamar PAS 2009 :

"Mendesak Kerajaan Supaya Mengharamkan Sisters in Islam (SIS)," tulis penyokong pro-ulama PAS itu di laman Facebook mereka.


Mujahid, Khalid dan Hanipa sebelum ini dikritik oleh ramai kepimpinan ulama PAS ekoran keceluparan mereka menyanggah pendirian dan keputusan Presiden serta Majlis Syura Ulama, termasuk berkaitan penggunaan kalimah "Allah", PasMa dan pelbagai kontroversi yang lain.

Mereka bertiga disifatkan lebih memihak pada kepimpinan dua rakan sekutu parti, DAP dan PKR, khususnya terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -KedahNews.com