Eksklusif..! Kes Buli Pelajar: "Bukan Dia, Budak Tu Takdak Kena Mengena Dengan Video Tu"

Gambar pelajar yang tersiar di akaun laman Facebook milik individu yang dikenali sebagai Zuraimi Ngah bukan merupakan pelajar yang terlibat di dalam insiden kes buli pelajar di asrama yang sedang viral diperkatakan di laman-laman sosial sejak kebelakangan ini.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Maktab Mahmud Padang Terap, Mohd Zulqurnain Mohd Yusof, pelajar yang dikatakan "telah ditahan polis" itu tiada kena mengena dengan kes yang berlaku di dalam video berkenaan.

Mohd Zulqurnain Mohd Yusof
"Bukan dia.. budak tu takdak kena mengena pun dengan video tu.

"Budak dalam gambar tu memang ada kes sikit dulu kat sekolah ni, dah lama dah.. kes pun dah selesai lama dah.. taktau la macamana gambar budak tu boleh keluar tiba-tiba.. tapi memang takdak kaitan langsung dengan kes buli dalam video tu," katanya ketika dihubungi KedahNews.com sebentar tadi.

Zulqurnain turut menegaskan bahawa kejadian buli berkenaan tidak berlaku sama sekali di mana-mana cawangan Maktab Mahmud.


"Video tu tak berlaku pun di mana-mana cawangan Maktab Mahmud kat Kedah ni.. tak tau la macamana tiba-tiba nama Maktab Mahmud dikaitkan dengan kes dalam video tu.

Zuraimi Ngah sebelum itu memuat naik gambar seorang pelajar bersongkok, berbaju hitam dan terdapat lambang Maktab Mahmud dengan kapsyen "PDRM dah dapat budak ni", dipercayai merujuk pada kes di dalam video berkenaan.


Dia turut memuat naik satu "print screen" yang bertulis "Ni dia budak bersinglet hitam dr Maktab Mahmud Tingkatan 5 Alor Setar, Kedah yang pukul budak yang tak melawan secara "ragging" gila!!!" pada ruangan komen video berkenaan di Facebook.


Penolong Kanan HEM itu mendakwa kemungkinan terdapat pihak-pihak tertentu yang cepat teruja dan tersalah kongsi maklumat yang salah sehingga tergamak memburukkan imej institusi pendidikan agama terkenal di Kedah itu.

Pihaknya telah membuat laporan polis bagi membersihkan imej Maktab Mahmud sekaligus menafikan sebarang kaitan maahad kebanggaan negeri Kedah itu dari kes buli di dalam video berkenaan.

Sementara itu Ketua Ketua Polis Daerah Daerah Padang Terap, DSP Ahmad Nasir Jaafar berkata hasil pemantauan anggotanya menunjukkan keadaan bilik asrama yang menempatkan 140 pelajar lelaki itu tidak sama dengan yang ditunjukkan dalam klip video itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan pula memberitahu bahawa kes berkenaan sedang berada di dalam siasatan pihak polis, namun belum dapat dikenal pasti sekolah yang terlibat di dalam video kes buli pelajar terbaru itu.

"Kes ini masih disiasat," katanya memetik mstar, hari ini. -KedahNews.com