Eksklusif! Majoriti Muak, Mahu 3 Ahli Parlimen Buruk Imej Parti Dipecat!

Majoriti ahli PAS dikatakan sudah muak dengan tiga Ahli Parlimen PAS yang disifatkan sangat memalukan dan merosakkan imej parti itu sebagai sebuah jemaah memperjuangkan Islam di mata masyarakat di negara ini.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen PAS yang dimaksudkan ialah Hanipa Maidin, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad yang dilihat sering berpegang dengan pendirian yang bercanggah dengan Islam, termasuk yang terbaru mempertahan pertubuhan Sister In Islam (SIS).

"Majoriti ahli PAS sudah muak dengan permainan kotor tiga MP PAS tersebut. Permainan yang telah pun merosakkan imej baik PAS sebagai sebuah jamaah Islam terkemuka dunia," dakwa sebuah laman Facebook pro-PAS tegar, El-Haraki, baru-baru ini.

Antara poster kempen para penyokong PAS di Facebook
Menurut sumber, Hanipa pernah mengetuai Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor dalam satu demonstrasi pada April 2005 di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, bagi mendesak supaya kerajaan mengharamkan SIS.

Namun katanya, Hanipa bertukar 360 darjah apabila menegaskan bahawa pengharaman SIS oleh Majlis Fatwa Selangor tidak wajar sama sekali dan mendesak supaya satu dialog diadakan bagi membincangkan isu tersebut.

Justeru itu, para penyokong PAS itu mendesak supaya tindakan disiplin dikenakan terhadap ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan dan menegaskan bahawa trio pembela SIS itu "wajib" dipecat dari parti tersebut dengan segera.

Poster sebaran dari Lajnah Tugas-Tugas Khas DPPM

El-Haraki turut menyebarkan sebuah poster berhubung isu SIS membabitkan pendirian PAS, yang diterbitkan oleh Lajnah Tugas-Tugas Khas Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sebagai peringatan terhadap ketiga Ahli Parlimen berkenaan. -KedahNews.com