Ex-Boyfriend Rakam Mandi Bogel, Tauke Kedai Urut Lapor Pada MCA

Seorang ahli perniagaan wanita terkejut apabila menemui rakaman video dia sedang berbogel dipercayai dirakam teman lelakinya secara sembunyi menggunakan telefon pintar.

Tindakan itu dipercayai dilakukan dengan motif ugutan supaya mangsa berusia 37 tahun membatalkan niat memutuskan hubungan cinta.

Bagaimanapun niat lelaki berusia 49 tahun itu ‘terbantut’ apabila mangsa menemui telefon bimbit kekasihnya sebelum membuat laporan polis.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jong berkata, dia mengenali bekas kekasihnya itu pada 2007, namun tidak mengahwini lelaki itu berikutan suspek mempunyai isteri.

Menurutnya, lelaki itu hanya ingin menjalinkan hubungan cinta kerana dia memiliki perniagaan dan mahu menumpang kesenangan dimiliki.

“Namun, saya mula bosan selepas dia tetap tidak mahu mengahwini saya walaupun sekian lama menjalin hubungan.

“Muak dengan sikap lelaki itu, saya nekad memutuskan hubungan pada April lalu, namun dia mula mengganggu premis perniagaan saya,” katanya ketika mengadu di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.