JAKARTA – Filem ‘Jokowi Adalah Kita,’ yang mengisahkan kehidupan
Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) ditunda tayangannya, kesan
daripada kenaikan harga minyak di negara itu baru-baru ini.
Filem itu yang menceritakan mengenai perjuangan Jokowi sepanjang
menjadi gabenor Jakarta hingga sebelum memenangi pilihan raya presiden
sebelum ini dijadual mula ditayangkan 20 November lalu.
Penerbit K2K Production KK Dheeraj mengambil keputusan menunda
tayangan filem berkenaan selepas dicadangkan oleh kumpulan penyokong
Jokowi, BARA JP, atas alasan keadaan tidak sesuai.
“Penayangannya ditunda. Kenaikan harga minyak itu menyebabkan keadaan
politik menjadi panas. Kita tunggu masa yang kondusif,” kata Dheeraj.
Menurutnya,langkah itu diambil walaupun filem ‘Jokowi Adalah Kita’ membawa mesej yang positif.
“Kenaikan harga minyak mencetuskan rasa tidak puas hati dan di sesetengah tempat, berlaku keganasan,” katanya.
Dia mengaku tindakan itu diambil selepas disyor oleh BARA JP.
“Kumpulan itu mahu masyarakat menonton filem terbabit. Mereka bimbang
ramai yang memulaukannya selepas Jokowi mengumumkan kenaikan harga
minyak,” katanya. – Agensi