Satu kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan lelaki yang cuba
berhenti merokok semakin banyak menghisap rokok sebaik melihat gambar
wanita cantik.
Menurut penyelidik dari Taiwan itu, wajah wanita cantik
merangsang pemikiran lelaki untuk menganggap keadaan semasa lebih
penting berbanding masa akan datang atau dengan perkataan lain, pengaruh
nikotin lebih diperlukan daripada kesihatan – menyebabkan impian mereka
untuk berhenti merokok, musnah.
Kajian itu dilakukan dengan membabitkan 76 responden lelaki yang dalam proses berhenti merokok.
Responden dibahagi kepada dua kumpulan. Separuh daripadanya diberikan
gambar wanita cantik berpakaian seksi. Manakala yang lain diberikan
gambar wanita berwajah sederhana.
Semua responden kemudian diberikan ujian penilaian daya tumpuan dan
didapati, pemikiran mereka yang melihat wanita cantik mudah terganggu.
Ujian terakhir dilakukan dengan membawa responden ke sebuah bilik
merokok. Mereka dibenarkan menghisap rokok sambil mengisi borang kaji
selidik.
Hasil kajian mendapati, responden yang ditunjukkan gambar
wanita cantik mudah tergoda malah menghisap rokok dua kali ganda lebih
banyak.
Penyelidik dari Univerisiti Perubatan Kaohsiung itu merumuskan,
gambar wanita cantik dapat mengurangi daya kawalan minda untuk menahan
daripada merokok dan tidak semuanya yang cantik itu baik. – Agensi