BANTING – Imej lembaga kononnya didakwa menyerupai pontianak di
Hospital Banting yang dirakamkan oleh pihak tertentu kini mula tersebar
di laman sosial Facebook (FB) sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam
kalangan masyarakat.
Meskipun ada pihak menganggap ia sebagai tahyul, namun tanggapan
ramai dalam kalangan masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk halus
juga tidak boleh diketepikan.
Bekas Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Abd Samad Maharudin berkata,
beliau percaya keadaan itu wujud. Namun katanya, masyarakat dinasihatkan
agar tidak mudah terpengaruh sehingga menakut-nakutkan pelanggan
hospital.
Beliau yang pernah menjadi Pegawai Khas kepada bekas Menteri Besar,
Datuk Harun Idris memaklumkan, pada asalnya tapak kawasan Hospital
Banting dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat merupakan kawasan
ladang getah dan kelapa sawit.
Justeru katanya, kewujudan makhluk halus di kawasan-kawasan berkenaan
tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa hal
tersebut tidak wajar dijadikan isu utama kerana bimbang ia disalah
tafsir, sedangkan yang Maha Berkuasa adalah ALLAH SWT.
Berhenti sebar gambar
“Masa tu, kawasan tersebut adalah milik sebuah syarikat swasta yang
mengusahakan ladang getah dan kemudian di jadikan ladang kelapa sawit.
Selepas pembinaan bangunan hospital dilakukan, tidak pula pernah dengar
ada jelmaan makhluk halus. Cuma… jika betullah seperti yang kecoh
sekarang ni, saya cuma anggap itu sebagai petunjuk dari ALLAH, untuk
manusia beringat-ingat.
“Lagipun hospital… biasalah. Hospital kan tempat banyak berlaku
insiden ngeri macam pesakit mati kemalangan, mati dibunuh, mati bunuh
diri, atau pun mati sakit. Itu perkara biasa, tapi janganlah pula ia
dijadikan satu kebimbangan yang tidak sepatutnya kepada masyarakat.
“Mengenai gambar-gambar (pontianak) tu, boleh jadi ia telah diedit.
Bagi saya mudah saja, selagi ia tak kacau masyarakat biarkanlah. Tapi
jika ada gangguan, pihak pengurusan hospital perlu ikhtiar melakukan
sesuatu,” katanya yang mahukan masyarakat berhenti menyebarkan foto
berkaitan makhluk halus berkenaan di laman sosial ataupun menerusi
lain-lain medium.
Abd Samad berkata, beliau mahu masyarakat memanfaatkan kemudahan yang
ada dengan baik dan tidak mencetuskan keadaan yang boleh mencetuskan
kebimbangan dalam masyarakat.
“Saya yakin masyarakat boleh buat pertimbangan yang wajar akan
situasi yang berlaku ini,” katanya yang juga merupakan bekas Adun Morib
sekitar tahun 1995.
Bukan rakaman CCTV hospital
Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Banting, Abdul Razak
Khasbullah berkata, beliau belum pernah menerima aduan daripada pihak
pengurusan hospital atau aduan awam mengenai sebaran gambar tersebut.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan telah bertemu dengan pengarah
hospital berhubung hal berkenaan dan merumuskan kejadian itu tidak
pernah berlaku di dalam wad apatah lagi ia hanya sebuah rakaman melalui
telefon bimbit dan bukannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
milik hospital.
“Bagi saya senang, dalam Islam kita tak boleh meragui kewujudan
makhluk-makhluk berkenaan. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian adalah
pihak yang mengirimkan gambar-gambar berkenaan agar berhenti
menyebarkannya jika hanya nak menakut-nakutkan orang ramai.
“Paling penting kejadian itu pun bukan boleh dilihat oleh semua
orang… hanya insan-insan terpilih sahaja yang boleh nampak. Jadi tak
perlulah nak sebarkan gambar-gambar seumpama itu. Ini penting bagi
mengelakkan keraguan dan kebimbangan di kalangan masyarakat,” katanya
yang turut memaklumkan hospital tersebut telah dibina sejak tahun 1974.
Simpan buat koleksi peribadi
Sementara itu, seorang orang awam, Adenan Yusop, 50, berkata, dia
tidak pernah melihat atau terdengar khabar angin mengenai sebaran gambar
menyerupai pontianak itu walaupun percaya kewujudan makhluk halus.
“Pihak yang dapat rakam gambar ‘benda’ tu tak payahlah nak
sebar-sebarkannya… bagi takut orang ramai buat apa. Nanti orang yang
sakit takut nak datang hospital, bukankah dah bagi masalah tu.
“Apa lebih elok, pihak tu simpan sendiri semua gambar pontianak tu
jadi koleksi peribadi. Lagipun, kejadian makhluk halus ni tak boleh
dibuat main-main… jika benarlah ada, hal ni perlu diambil serius…
bukannya memutar belitkan maklumat,” katanya. -Sinar harian