Pingat DSM Negeri Kedah |
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan
siasatan ke atas Persatuan Keluarga Sharif Abu Bakar Syah kerana
dipercayai terlibat dengan kegiatan menjual pingat kebesaran negeri
Kedah.
KDN dalam satu kenyataan memberitahu, persatuan itu yang beralamat di
Georgetown, Pulau Pinang ditubuhkan pada 23 April tahun lalu di bawah
Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 didaftarkan di negeri itu.
“Matlamat penubuhan persatuan ini merapatkan hubungan kekeluargaan
dan persaudaraan, membantu mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi,
menganjurkan aktiviti kebudayaan, dan menjaga kebajikan ahlinya.
“Namun, siasatan lanjut akan dijalankan terhadap persatuan berkenaan
kerana didakwa menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan maklamat
penubuhannya,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, tindakan akan diambil terhadap persatuan
tersebut jika terdapat bukti mencukupi pertubuhan berkenaan terlibat
dalam aktiviti tidak sah.
Bekas Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah, Datuk Tengku
Zainol Rashid Tengku Yahya sebelum ini mendedahkan kegiatan haram
seorang pensyarah terbabit dalam kegiatan menjual pingat kebesaran yang
membawa gelaran Datuk, Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk Seri Paduka
negeri Kedah sejak Ogos lalu.
Tengku Zainol mendakwa lelaki itu bergerak menggunakan sebuah
pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Pulau
Pinang.
Sehubungan itu, laporan polis dibuat Tengku Zainol bersama Persatuan
Sharif Shah, Tungku Long Putra dan Anjang Putra Negeri Kedah di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.