Gerak Rahsia Dalaman PAS Jatuhkan Hadi Awang Terbongkar?

Sangat mengejutkan apabila dikatakan wujud usaha beberapa individu dari dalam PAS yang seolah berpaling tadah, giat melobi mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletak jawatan sebagai Presiden PAS.

Menurut sumber berkenaan yang dipetik dari The Malaysian Insider, gerakan "memujuk paksa" itu memberikan alasan kesihatan Abdul Hadi yang semakin buruk dan demi menyelamatkan kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat.

Namun laporan di portal pro-pembangkang itu dilihat lebih cenderung desakan Abdul Hadi meletak jawatan bagi memastikan PAS tidak disingkir dari gabungan parti pembangkang bersama PKR dan DAP itu.

"Presiden banyak berubah selepas masuk hospital dan seringkali membuat keputusan secara bersendiri. Mungkin sudah sampai sama untuk beliau berundur," kata sumber berkenaan yang dipetik dari portal tersebut, semalam.

Sumber berkenaan menekankan tentang kemelut di dalam Pakatan Rakyat dikatakan berpunca dari Abdul Hadi yang disifatkan sebagai menyanggah keputusan pimpinan sekutu partinya, termasuk tidak hadir pelancaran Belanjawan PR 2015 dan pembentangan Bajet 2015 di Parlimen.

Ekoran itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara terbuka mengkritik Abdul Hadi dan PAS baru-baru ini mendakwa Presiden PAS itu sering ponteng mesyuarat Pakatan Rakyat dan tidak memberi komitmen yang baik.

DAP kemudian mendakwa tidak menolak untuk menyingkirkan PAS dari gabungan parti pembangkang itu.

Menurut sumber itu lagi, Abdul Hadi dipujuk untuk meletak jawatan bagi mengambil kedudukan sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang sering uzur.

Sekiranya Abdul Hadi meletak jawatan, sumber berkenaan menyatakan bahawa antara nama yang disebut-sebut bakal menjawat jawatan nombor satu PAS itu ialah Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu, atau Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Walau bagaimanapun, portal berkenaan tidak mendedahkan nama individu yang menjadi sumber bertanggungjawab menyalurkan maklumat gerakan "menjatuhkan Abdul Hadi" secara halus itu.

Hubungan PAS dengan PKR dan DAP masih lagi diambang retak menanti belah meskipun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuba "membeli jiwa" PAS dengan meredakan ketegangan yang semakin parah. -Amir Hamzah/UtaraNews.com