KOTA BHARU – Seorang guru agama berusia 33 tahun ditahan polis
selepas didakwa cuba meliwat murid tahun tiga di sekolahnya, di Chicha
di sini, kelmarin.
Kejadian pada 30 Oktober lalu itu terbongkar selepas ibu mangsa
mengesyaki sesuatu yang tidak kena terhadap anaknya kerana pulang lewat
malam dengan bau harum minyak wangi melekat di badan.
Wanita berusia 30 tahun itu menyoal anaknya itu sebelum kanak-kanak
berusia 9 tahun itu menceritakan kejadian dia diliwat seorang ustaz yang
mengajar di sekolahnya.
Suspek sebelum itu pergi ke rumah mangsa pada jam 8 malam dan
mengambilnya untuk dibawa bersiar-siar di Pasar Malam Wakaf Che Yeh.
Suspek kemudiannya membawa mangsa pulang ke rumah sewanya di Chicha dan
didakwa meliwat kanak-kanak terbabit.
Mangsa hanya dihantar pulang pada jam 1.30 pagi. Selepas menceritakan
kejadian itu, ibu mangsa membawa anak sulung daripada tiga beradik itu
ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pemeriksaan dan
membuat laporan di Balai Polis Tawang, Bachok.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Rohaimi Md Isa berkata, guru agama terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
“Suspek yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu ditahan ketika berada di kantin sekolah.
“Laporan awal pihak hospital bagaimanapun mendapati tiada kesan
koyakan pada dubur mangsa, namun suspek sendiri mengaku ada melakukan
sesuatu (cabul) ke atas mangsa.
“Polis masih siasat kes ini termasuk dakwaan mangsa disuruh menghisap
beberapa batang rokok sebelum dicabul. Suspek direman hingga 7 November
ini,” katanya. – Sinar Harian