SEREMBAN – Seorang guru dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan
merogol seorang kanak-kanak perempuan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari
ini.
Hakim Datuk Anita Harun membuat keputusan itu terhadap Mohd Faddil
Abdul Rahman, 39, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan
munasabah terhadap kes pendakwaan.
Anita berkata mahkamah mengambil kira keterangan saksi ketiga iaitu
pakar andrologi yang menyatakan tertuduh mengalami masalah mati pucuk
ketika kejadian rogol itu didakwa berlaku.
Mohd Faddil dilihat melakukan sujud syukur selepas hakim membuat keputusan.
Dia sebelum ini didakwa merogol kanak-kanak perempuan yang ketika itu
berusia 12 tahun, di sebuah rumah di Seremban 3 di sini, pada 14 dan 15
Sept tahun lalu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih
30 tahun serta sebatan.
Pendakwaaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farid Mohd Mokhtar
manakala tertuduh diwakili peguam John Fernandez. – BERNAMA