Bagi tuduhan pertama, Heris Saad, 56, didakwa secara rasuah meminta
suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai
dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan rumah PPRT di Kentucky
Fried Chicken (KFC), Jalan Limbong Kapal di sini pada 10.45 pagi, 10
November lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga
20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau
RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Heris juga dituduh memperoleh suapan berbentuk layanan seks daripada
seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk tujuan sama di bilik
bernombor 101, Hotel Royale Jalan Putra di sini pada 2.45 petang, 13
November lepas.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009
yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda
tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana
yang lebih tinggi.- Bernama