Ketika seluruh Malaysia masih lagi bersedih dengan
kehilangan pesawat MH370 dan tragedi MH17, ada segelintir pihak di luar
sana yang dilihat tidak sensitif apabila meraikan perayaan Halloween
dengan mengenakan kostum bertemakan MH370.
Mereka menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang melucukan tanpa
memikirkan perasaan ahli keluarga mangsa yang terlibat yang sehingga
kini masih tidak mengetahui status sebenar orang kesayangan mereka.
Malah, ada yang memakai uniform juruterbang dengan tag nama Hamid
merujuk kepada pembantu juruterbang MH370, Fariq Hamid dan kapten yang
mengemudi pesawat, Zaharie Ahmad Shah.
Menurut anak salah seorang krew penerbangan MH370, Andrew Nari iaitu
Maira Elizabeth Nari, pada mulanya dia tidak perasan dengan perkara itu
namun selepas diperhatikan semula gadis itu merasakan perbuatan mereka
adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima.
“Selepas melihat kostum yang mereka pakai, satu perkara yang
terlintas di fikiran saya, saya dah jumpa tempat untuk mereka iaitu di
neraka. Mereka ingat perbuatan itu sesuatu yang melucukan, tetapi
sebenarnya ia langsung tidak melucukan,” katanya memetik laporan Malay
Mail.
Maira sekeluarga bagaimanapun tidak akan mengambil sebarang tindakan
mahkamah berhubung isu tersebut namun berharap masyarakat dunia
mengetahui batasan mereka berhubung isu yang dilihat sangat sensitif
ini.
Sumber: Mynewshub.cc