KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memuratakan harga pasaran dunia bagi
minyak petrol RON95 sebelum pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal pada
1 Dis, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau yakin kaedah pengapungan terkawal terhadap petrol RON95 bakal
memberi fleksibiliti kepada rakyat untuk menikmati harga minyak lebih
rendah berdasarkan kejatuhan harga minyak semasa.
“Saya dimaklumkan harga pasaran dunia bagi RON95 dijangka
akan turun dalam masa beberapa hari dan setakat hari ini (27 Nov)
harganya adalah pada RM2.26 seliter iaitu lebih rendah daripada harga
RM2.30 yang dijual pada masa sekarang.
“Harga itu dijangka akan menurun lagi dan kami berjanji akan
memuratakan harga itu sebelum 1 Dis,” katanya dalam sidang media hari
ini.
Jumaat lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan kerajaan akan
menetapkan harga runcit bagi RON95 dan diesel mengikut kaedah
pengapungan terkawal mulai 1 Dis.
Menurut Hasan, subsidi bagi RON95 akan dihapuskan dan harga minyak akan bergantung kepada harga pasaran dunia. – BERNAMA