KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan aksi
mengecewakan pada aksi persahabatan antarabangsa selepas kalah 1-3
kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam, hari ini.
Kekalahan itu adalah yang keempat dicatatkan skuad kendalian Dollah
Salleh yang sebelum ini tewas dalam tiga aksi persahabatan terdahulu.
Mereka kalah 1-4 kepada Tajikistan di Stadium Central Dushanbe,
Tajikistan pada 8 Ogos selain kecundang 0-2 kepada Indonesia pada 14
Sept lalu di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia.
Skuad Harimau Malaya turut diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada skuad
Bawah 23 (B-23) Syria pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu
lalu.
Malaysia hanya mencatatkan satu kemenangan iaitu mengalahkan Kemboja 4-1 di Stadium Shah Alam pada 20 Sept lalu.
Pada aksi hari ini, kedua-dua pasukan saling mengasak bagi mencari
gol awal namun skuad negara berjaya mendahului pada minit ke-22 menerusi
pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Amri Yahyah yang bijak
menyudahkan hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha.
Tersentak dengan gol tersebut, pasukan tuan rumah kembali memperkemas
corak permainan bagi mencari gol penyamaan namun dihampakan oleh
ketumpulan jentera serangan dan keputusan itu kekal sehingga berakhir
separuh masa.
Bersambung babak kedua, pasukan Vietnam menggandakan asakan ke kubu
skuad negara dan mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi
jaringan Mac Hong Quan pada minit ke-47.
Selang seminit kemudian, skuad negara ditimpa malang selepas pemain
pertahanan, Mohd Muslim Ahmad dilayangkan kad merah oleh pengadil
perlawanan kerana mengasari pemain Vietnam.
Kekurangan 10 pemain dimanfaatkan sepenuhnya pasukan tuan rumah yang
menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti oleh Nguyen Van Quyet
pada minit ke-56.
Sepakan penalti itu diberikan oleh pengadil selepas pemain
pertahanan, Mahalli Jasuli menjatuhkan Van Quyet di dalam kotak penalti
skuad negara.
Pemain tengah, Ngo Hoang Thinh mengesahkan kemenangan mutlak Vietnam
pada minit ke-81 selepas beliau menyambar bola yang gagal ditampan kemas
oleh penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat.
Perlawanan berkenaan adalah sebahagian daripada persiapan skuad
negara untuk menghadapi Piala AFF Suzuki di Singapura dari 23-29 Nov
ini.
Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan
berdepan Myanmar pada 23 Nov disusuli aksi kedua menentang Thailand (26
Nov) dan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Jalan
Besar, Singapura.
Skuad negara akan menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang
Singapura di Stadium Nasional Singapore Sports Hub pada 29 Nov ini. –
BERNAMA