Shah Alam - “Saya jangkakan perlawanan yang sengit malam ini (semalam), tapi bila permainan bermula segalanya agak mudah buat kami,” kata jurulatih Syria Muhannad Al Fakeer selepas menyaksikan anak buahnya mudah menewaskan Harimau Malaya 3-0 pada aksi persahabatan antarabangsa semalam.
Mungkin kenyataan itu seolah-olah memperlekehkan skuad negara bimbingan Dollah Salleh, namun dengan aksi hambar khususnya pada babak kedua di Stadium Shah Alam itu, hakikat itu terpaksa ditelan.
Kekalahan itu sudah dapat dibayangkan apabila Malaysia ketinggalan 0-1 pada minit keempat menerusi jaringan Nadim Sabag.
Dalam aksi padang basah Syria yang menduduki ranking ke-151 dunia berbanding Malaysia 156 mudah mendominasi permainan dan menambah dua gol lagi sumbangan kapten Sanharib Malki di minit ke-47 dan Omar Khrbin (m-65).
“Pemain saya bermain dengan baik dan saya gembira kerana misi untuk mencapai kemenangan berjaya. Pemain Malaysia banyak melakukan kesilapan dan ini bagus untuk kami.
"Selepas kami menjaringkan gol ketiga, kami percaya saingan sudah berakhir," kata Muhannad pada sidang media selepas perlawanan itu.
Bagi Dollah pula yang menyaksikan pasukannya beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan Mohd Fadhli Shas dibuang padang kerana layangan kad merah pada minit ke-81 tetap tenang dengan kekalahan itu.
Biarpun dicemuh lebih seribu Ultras Malaya, Dollah tetap percaya anak buahnya akan bangkit pada aksi pemanas badan terakhir dengan Vietnam di Hanoi Ahad ini sebelum kempen Piala AFF pada 23 November di Singapura.
“Saya puas hati dengan persembahan pasukan pada babak pertama biarpun ketinggalan satu gol, namun selepas Syria mendapat gol awal pada separuh masa kedua, ia merentap semangat pemain.
“Saya tetap yakin dengan kemampuan pemain saya dan mereka boleh bermain lebih baik di Piala AFF,” katanya.
Corak permainan hambar pasukan negara cukup mengecewakan Ultras Malaya yang melaungkan kata-kata ‘Dollah Salleh apa yang kau buat’ serta mengejek pasukan sendiri hingga permainan tamat.
Sumber: myMetro