Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691/1292 - 751/1350) bukanlah tokoh yang
asing dalam kalangan orang Islam, tetapi ramai yang tidak tahu pemikiran
dan sumbangannya dalam falsafah ekonomi Islam. Ibn Qayyim banyak
membincangkan konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat, konsep
faedah, riba al-fadi dan riba al-nasiiah, dan mekanisme pasaran.
Ibn Qayyim atau nama asalnya Shams al-Din Abu 'Abd Allah Muhammad bin
Abu Bakr bin Sa'ad, lahir pada 7 Safar 691H bersamaan 9 Januari 1292M di
Damsyik. Beliau meninggal dunia pada tahun 751H/1350M ditempat yang
sama.
Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu
pengetahuan. Ayahnya merupakan guru pertama yang mengajar Ibn Qayyim
tentang ilmu-ilmu asas Islam termasuk ilmu al-fara'id.
Sebenarnya,
beliau telah menuntut pelbagai bidang pengajian dengan beberapa orang
ulama terkenal pada waktu remajanya. Antara guru beliau ialah Qadi
Sulayman bin Hamzah (711H/1311M), Shaykh Abu Bakr (718H/1318M), al-Majd
al-Tunisi (718 H), Abu al-Fath al-Ba'li (709H), al- Saffi al-Hindi
(715H), al-Taqi al-Sulayman, Abu Bakr bin 'Abd al-Da'im (718H), Abu Basr
bin al-Shirazi (723H), 'Isa al-Mut'im (719H), Isma'il Maktum (716H),
dan Ibn Taymiyyah (661 - 728/1263 - 1328).
Antara bidang pengajian yang dipelajari daripada mereka ialah tafsir
al-Quran, hadith, usul al-fiqh, dan fiqh. Kesungguhan dan ketekunan Ibn
Qayyim mempelajari ilmu dan pelbagai bidang, akhirnya menjadikan beliau
terkenal sebagai seorang tokoh dalam bidang fiqh, usul al-fiqh, tafsir,
bahasa Arab, ilmu kalam, dan hadith.
Malah menurut Ibn 'Imad, Ibn Qayyim
merupakan seorang yang alim dalam bidang tasawuf.Ibn Qayyim sangat
terkenal sebagai seorang tokoh ilmuwan pada zamannya dan dapat menguasai
pelbagai bidang ilmu.
Beliau merupakan salah seorang faqih yang
mempunyai autoriti dalam Mazhab Hambali. Ada sesetengah Ulama Sufi
menggelarkannya sebagai sufi agong. Beliau juga mempunyai personaliti
dan peribadi yang baik yang amat sukar ditandingi oleh orang lain yang
semasa dengannya.
Ibn Kathir (774H/1373M), salah seorang anak muridnya
pernah menyatakan bahawa Ibn Qayyim kuat beribadat dan peribadinya
disukai oleh orang ramai pada waktu itu.
Antara lain Ibn Kathir menulis,
"Aku tidak pernah melihat pada zaman kami ini, orang yang kuat
beribadat seperti Ibn Qayyim. Apabila sembahyang, sembahyangnya begitu
lama. Beliau memanjang rukuknya dan juga sujudnya."
Selaku seorang ulama yang terkenal, Ibn Qayyim telah didampingi oleh
ramai orang yang berguru dan mempelajari pelbagai bidang ilmu dengannya.
Antara anak muridnya yang masyhur ialah Ibn Kathir tokoh dalam ilmu
hadith dan sejarah, Zayn al-Din Ibn Rajab al- Hambali (795H/1397M)
seorang tokoh dalam Mazhab Hambali, dan Ibn Hajar al-'Asqalani
(852H/1449M) seorang tokoh hadith yang tidak asing lagi.
Menurut
penyelidikan Dr. 'Iwad Allah Jad Hijazi penulisan Ibn Qayyim dalam
pelbagai bidang ilmu pengetahuan berjumlah 66 buah. Penulisan itu ada
yang berjilid-jilid, ada yang tebal dan ada yang kecil serta ringkas.
Dalam bidang tafsir Ibn Qayyim menulis Kitab al'Tibyan fi Iqsam
al'Qur'an, Tafsir al Muuawwizatayn, Tafsir Surah al'Fatihah yang
terdapat di awal Kitab Madarij al-Salikin, dan lain-lain lagi.
Dalam bidang Hadith, Ibn Qayyim menulis kitab-kitab seperti Tahdhib
al-Siman oleh Abu Dawud, al-Wabilal Sayyab min al-Kalam al-Tayyib, dan
sebagainya.
Dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh beliau menyumbangkan
kitab-kitab seperti, Ilam al-Muwaqqi'in 'an Rabb al-'Alarum, al-Turuq
al-Hukmiyyah fi al-Siyysah al-Shar'iyyah, al-Solah wa Ahkam Tariqiha,
Tuhfah al-Mawdud biAhkam al-Mawlud, Bayan al-Dalil "An Istighna"
al-Musabaqah 'an al-Tahlil, al-Tahlil Fima Yaaill wa Yaarum min Libas
al-Harir, dan sebagainya.
Dalam bidang tasawuf Ibn Qayyim menulis yang antaranya, kitab-kitab
Madarij al-Salikin, Rawdah. al-Muhibbin wa Nuzhah ai-Mushtaqin,
al-Fawa'id li Ibn Qayyim, 'Uddah al-Sabirin wa Dhakhirah al-Shakirin,
Taraq al-Hijratayn wa Bab al-Sa'adatayn, dan sebagainya.
Dalam bidang
kalam dan falsafah Ibn Qayyim menulis beberapa kitab seperti, Shifa'
a-'Alil fi Masa'il al-Qada' wa Al-Qadar wa al-hikmah wa al-Ta'lil, Kitab
al-Ruh, Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, dan Miftah dar al-Sa'adah wa
Manshur Wilayah al-'Ilm wa al-Iradah.
Dalam bidang sejarah, beliau menulis Kitab Zad al-Ma'ad fi Hady Khayr
al-'Ibad. Ibn Qayyim juga menulis al-Tibb al-Nabawi, Talbis Iblis,
al-Jawab al-Kafi 'an Lima Sa'ala 'An al-Dawa' al-Shafi, dan lain-lain
lagi.
Ibn Qayyim dalam penulisannya juga telah menyentuh beberapa perkara
berkenaan dengan falsafah ekonomi Islam iaitu konsep manusia Islam (homo
islamicus) dan manusia bukan ekonomi (non homo economicus), konsep
keadilan dan nilai-nilai etika dalam ekonomi, aktiviti ekonomi,
kerjasama dan pembahagian buruh, pemilikan harta kekayaan oleh individu,
dan peranan kerajaan dalam ekonomi.
Dalam hal ini, Ibn Qayyim
menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap manusia
bertanggungjawab membimbing diri sendiri ke arah menjadi hamba Allah
yang baik dan Allah S.W.T merupakan sumber pedoman dan petunjuk.
Dalam
pengajian ekonomi, manusia digambarkan sebagai makhluk yang sifat,
gelagat, dan tindakannya mementingkan diri sendiri, tamak, haloba, dan
menjadikan keuntungan sebagai asas penting dalam semua jenis aktiviti
ekonomi. Jadi, setiap manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya dan
Allah S.W.T menjadi pedoman dan petunjuk ke arah jalan yang betul.
Selain itu, Ibn Qayyim menekankan bahawa hidup di dunia ini merupakan
ujian dan cubaan daripada Allah S.W.T. Ujian yang dikenakan kepada
manusia itu boleh sama ada dalam bentuk anugerah harta kekayaan ataupun
diberikan kehidupan yang susah.
Anugerah kekayaan kepada seseorang tidak
bermaksud Allah S.W.T sayang kepadanya. Demikian juga ujian kemiskinan
tidak bermaksud Allah S.W.T benci kepada seseorang. Harta kekayaan yang
dimiliki oleh manusia bukanlah bererti hidup ini penuh dengan
kesenangan.
Ibn Qayyim juga ada menyentuh soal keadilan yang merupakan
teras semua aspek dalam kehidupan. Menurut Ibn Qayyim, keadilan
merupakan objektif dan matlamat utama Syariah.
Hal ini demikian adalah
kerana Syariah itu mengandungi keadilan, keberkatan, dan kebijaksanaan.
Perkara yang bercanggah dengan keadilan akan menukarkan keberkatan dan
kebajikan kepada laknat dan kejahatan, dan daripada kebijaksanaan kepada
sesuatu yang tidak berfaedah kepada Syariah.
Sehubungan dengan itu Ibn Qayyim menjelaskan nilai-nilai etika yang
baik seharusnya diamalkan oleh orang Islam dalam kegiatan ekonomi
mereka.
Antara nilai etika yang baik ialah kepatuhan kepada Allah SWT,
ketaatan kepada agama, sifat baik, jujur, dan benar. Apabila nilai etika
tersebut diamalkan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam kegiatan
ekonomi, akan menjauhkan nilai-nilai jahat seperti pembohongan,
penipuan, dan korupsi.
Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa akibat daripada sifat semula
jadi yang suka berbohong akan menyebabkan kejayaan tidak tercapai dalam
kehidupan.Apabila keadaan ini berlaku, kehidupan perekonomian akan cacat
termasuk juga aspek-aspek lain dalam kehidupan.
Dalam perkataan lain,
pembohongan memberi impak yang besar dalam kehidupan orang-orang
Islam.Memandangkan akibat yang besar daripada ketidaktaatan dan
kejahatan sosial, Ibn Qayyim ada menulis bahawa kesan-kesan dosa akan
membawa kepada tidak baik dan dikutuk.
Dosa-dosa ini mencacatkan jasad
dan roh manusia yang merosakan kehidupan di dunia ini dan selepas
mati.
Sifat-sifat yang negatif seperti pembohongan, penipuan, dan
pengeksploitasian serta ketidakjujuran mendorong kepada keadaan yang
tidak tenteram dalam kehidupan masyarakat. Akan berlaku huru-hara,
kecurigaan, ketidakstabilan, dan kekecewaan dalam kalangan masyarakat.
Apabila semua perkara ini berlaku, kegiatan ekonomi akan
menguncup.Sebaliknya nilai-nilai etika yang diamalkan dalam masyarakat
akan menyuburkan suasana keyakinan dan jaminan keselamatan dalam
masyarakat.
Pada masa yang sama, masyarakat akan bekerjasama dalam
proses pengeluaran dan kestabilan ekonomi. Dalam perkataan lain
pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan akan meningkat, dan
masyarakat akan hidup mewah.
Selain itu, Ibn Qayyim menganjurkan campur tangan kerajaan dalam
pemilikan harta kekayaan individu jika individu berkenaan menggunakan
harta kekayaan berkenaan pada jalan yang bertentangan dengan faedah
masyarakat.
Dalam hubungan ini, Ibn Qayyim telah memetik sepotong hadith
Rasulullah s.a.w. mengenai seorang hamba (harta) yang dimiliki bersama
oleh beberapa rakan kongsi (tuan) yang hendak dibebaskan oleh salah
seorang daripada tuannya, sedangkan tuan-tuan yang lain tidak bersetuju
dengan pembebasan tersebut.
Dalam kes ini Rasulullah s.a.w. memutuskan
harga yang adil dan rakan-rakan kongsi yang lain diminta menerima
bahagian masing-masing.
Selepas itu, hamba berkenaan telah dibebaskan.
Hadith ini menjadi asas pada Ibn Qayyim dalam menentukan peraturan
bahawa sesuatu harta yang tidak boleh dibahagikan dan dimiliki bersama
boleh dijual jika salah seorang daripada para pemiliknya berhasrat untuk
menjualnya.
Jelas, beberapa aspek dalam falsafah ekonomi Islam yang
dihuraikan oleh Ibn Qayyim tersebut merupakan antara prinsip dan teras
ekonomi Islam yang membezakannya dengan falsafah ekonomi konvensional.
Sumber: Islamgrid