Gugur air mata seorang ibu ketika berdiri menerima Ijazah milik
anaknya, Azrina Yaakob yang terkorban dalam tragedi nahas pesawat MAS MH
17.
Habibah Ismail, 65, datang dari Alor Setar ditemani tiga anaknya
untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam)
yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Abdul Rahman
Arshad.
Ujar warga emas itu, dia tidak dapat membendung kesedihan tatkala
nama anaknya disebut sebagai penerima anugerah seterusnya pada Istiadat
Konvokesyen UiTM ke-81, Rabu lepas.
“Ketika di atas pentas tadi, Mak Cik bertambah sebak terutama
ketika pengacara majlis menceritakan mengenai tragedi MH 17 sebelum
meminta semua yang berada dalam dewan menghadiahkan al-Fatihah buat
mangsa tragedi itu,” ujarnya kepada pemberita Bernama.
Mangsa yang berusia 41 tahun melanjutkan pelajarannya secara
pengajian jarak jauh (PJJ) di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam ketika sedang berkhidmat dengan MAS sebagai ketua
pramugari.
Azrina berjaya menamatkan pengajiannya sebelum terkorban dalam nahas
pada 17 Julai lepas apabila pesawat yang dinaikinya ditembak jatuh di
ruang udara timur Ukraine.
Sumber: Mynewshub.cc