KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memburu mereka
yang bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke
dalam negara dan mereka yang menjadi agen atau melindungi golongan ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata pihak yang terbabit
menggaji atau melindungi PATI secara haram harus tampil menyerah diri
sebelum program pengampunan yang akan berakhir pada 31 Disember ini.
“Apa yang perlu majikan lakukan supaya menyerahkan Pati itu kepada
imigresen secara sukarela…hukuman mereka (PATI) akan diringankan samada
diberi kompaun atau dihantar balik ke negara asal,” katanya kepada
pemberita selepas Ops Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia di Sentul
Raya, di sini.
Dalam satu operasi selama dua jam bermula pukul 9 malam tadi
melibatkan 104 pegawai dan anggota dari Ibupejabat Jabatan Imigresen dan
Cawangan Kuala Lumpur, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 178 warga asing diperiksa.
Daripada jumlah itu, 49 ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta
Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan, manakala
empat lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas
kesalahan tinggal melebihi masa.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (16),
Indonesia (35), Myanmmar dan India masing-masing satu,” katanya. –
BERNAMA