Jika anda berasa tertekan, kesepian dan dalam kesakitan, kadang-kadang apa yang anda perlukan adalah pelukan.
Atas dasar berkenaan, seorang ibu kepada dua anak melancarkan
perniagaan pelukan kepada pelanggan dengan bayaran sebanyak RM185 untuk
30 minit, RM314 untuk sejam dan RM472 untuk 90 minit.
Menurut wanita itu, Lisa Kelly, dia akan melawat rumah pelanggan dan
akan berbaring dalam posisi yang berbeza, bertujuan memberikan
ketenangan kepada pelanggan.
Meskipun dia dikritik kerana perniagaan itu hampir menyamai pelacuran
dan memalukan keluarganya namun Kelly menegaskan hubungan seksual tidak
terlibat dalam perniagaan pelukan berkenaan.
Malah katanya, dia mengenakan pelbagai syarat termasuk tidak boleh
menyentuh bahagian tertentu dan pelanggan dianggap sebagai anak-anak.
“Ia bukan hubungan seksual. Ia adalah sesuatu untuk mereka yang berasa kesepian dan kesakitan,’’ katanya.
Kelly berkata, dia juga akan memastikan dirinya dan pelanggan menitik
beratkan amalan kebersihan termasuk berus gigi, mandi serta memakai
pakaian bersih.
Demi keselamatannya, pihak ketiga akan dihubungi bagi memaklumkan
mengenai sesi berkenaan dan dia juga akan bertemu dengan pelanggannya
sebelum sesi pertama bermula. -Agensi