Ini Jersi Terbaru Skuad #LangMerah, Kekal #HijauKuning!

ALOR SETAR - Barisan pemain bola sepak Kedah bakal menyarungkan jersi yang diilhamkan sendiri oleh penyokong setia pasukan Helang Merah, yang diberi peluang untuk mereka bentuk jersi bagi musim 2015.

Presiden Persatuan bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata dalam peraduan mereka bentuk jersi itu, pihaknya telah menerima 300 penyertaan dan tiga reka bentuk terbaik dipilih.

Reka bentuk yang terpilih akan dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan depan dan diharap ia akan dapat digunakan pada perlawanan pertama Liga Malaysia (Liga-M) musim 2015, Januari depan.

Tiga kategori reka bentuk jersi dipilih iaitu 'Home', Away" dan 'Third', katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Rekaan Jersi Skuad Hijaukuning 2015 di sini Isnin.



Bagi rekaan jersi 'Home' pemenangnya ialah Muhamad Hafizie Noraziz, 20, manakala Harith Hashim, 33, memenangi kategori 'Away' dan Muhamad Yusri Saad memenangi kategori 'Third', dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500.

Mukhriz berkata pihaknya telah mengenal pasti sebuah syarikat di Thailand untuk membekalkan jersi bagi musim hadapan. - BERNAMA

Sumber gambar: KFA