Sanggupkah anda merasai pengalaman di rumah hantu paling menakutkan di dunia? Percaya atau tidak, McKamey Manor, San Diego, California mempunyai 24,000 dalam senarai menunggu yang rata-rata tidak gerun memasuki rumah hantu itu.
Mungkin juga mereka tercabar mahu menjadi yang pertama mampu menghabiskan keseluruhan pengembaraan disediakan di dalam McKamey Manor. Sejak dibuka 14 tahun lalu, belum ada seorangpun pengunjung berjaya sampai ke garisan penamat.
Lihat saja gambar-gambar ini-amat menggerunkan! Jika memasuki rumah ini, bersedialah untuk diikat, disumbat dalam sangkar ular dan disimbah darah palsu.
Tidak hairanlah jika orang yang paling gagah sekalipun-termasuk anggota tentera marin-ada yang menangis ketakutan 'dikerjakan' hantu-hantu di McKamey Manor.
Kalau sekadar ingin menjenguk, anda boleh melihat pengembaraan menakutkan yang mengambil masa antara empat hingga lapan jam untuk dihabiskan secara online.
Pengasasnya Russ McKamey, 55, dan teman wanitanya Carol Schultz kreatif memastikan pengunjung merasai pengalaman berbeza setiap kali ke McKamey Manor.
"Ini penting kerana acara kami berunsur sinematik. Jadi kami mengubah temanya setiap tahun namun apa yang penting, pengunjung akan rasa diikat anggota badan atau mulut, dimasukkan dalam kandang ular atau dipaksa makan telur busuk," katanya.
Syaratnya hanya dua pengunjung boleh memasuki rumah itu pada satu-satu masa dan latar belakang mereka juga diperiksa sebelum dibenarkan masuk.
Tidak ada bayaran dikenakan untuk masuk ke rumah hantu itu namun pengunjung mesti berusia 21 tahun ke atas dan sihat mental serta fizikal selain menandatangani dokumen penepian terlebih dulu.
McKamey berkata dia menghasilkan projek itu kerana begitu meminati kisah seram seperti Psycho, Texas Chainsaw Massacre dan The House on Haunted Hill dan sanggup menghabiskan lebih AS$500,000 (RM1.6 juta) untuk menjadikan McKamey Manor pengalaman paling menakutkan di dunia.
"Pengalaman yang kami tawarkan adalah interaktif malah saya turut berbincang dengan peminat selain membuat kajian mendalam. Percayalah, apa yang dialami di sini amat unik-tidak ubah seperti merasai filem seram anda sendiri," katanya. -myMetro