Dunia pemotoran antarabangsa kini berbangga apabila pengeluar
motosikal terkemuka Jepun, Kawasaki semalam melancarkan motosikal paling
pantas di dunia model Ninja H2 yang diilhamkan daripada teknologi
terbaik kereta lumba Formula One.
Motosikal berkuasa tinggi tersebut dengan slogan ‘Dibina Melangkaui
Kepercayaan’ dan berat keseluruhan hanya satu perlima daripada sebuah
kereta biasa itu mampu membuat pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer
sejam dalam masa cuma kurang 2.5 saat.
Pengarah Urusan Kawasaki Motors Australia, Kenichi Hashiba dilaporkan
berkata, Ninja H2 bakal menyaingi kehebatan motosikal paling laju di
dunia keluaran syarikat Kawasaki sendiri sebelum ini iaitu Ninja ZX14-R
yang dihasilkan sejak tahun 2010 lalu.
Ia juga dijangka mengatasi kehebatan Ducati Diavel keluaran sejak 2011, Yamaha VMAX sejak 2010 dan Suzuki GSXR-1000 sejak 2006.
Motosikal ini djadualkan memasuki pasaran Australia bermula awal
tahun depan dengan harga runcit A$30,000 (kira-kira RM86,800). – Agensi