IS Dijangka "Langgar" Libya Pula?


TRIPOLI - Kumpulan Negara Islam (IS) didakwa kini semakin mara ke Libya dengan menjadikan bandar Derna di timur negara itu sebagai kubu kuat mereka.

Bekas anggota Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Othman Ben Sassi turut mengesahkan dakwaan itu selepas beberapa imej memaparkan jihadis Libya yang menyertai perjuangan IS mula tersebar sejak beberapa minggu lalu.

Sementara itu, beberapa pemerhati mendakwa bandar Derna yang didiami kira-kira 150,000 penduduk tempatan telah menjadi kubu ketiga IS di Afrika Utara selepas kumpulan militan Jund al-Khilifa di Algeria dan Ansar Beit al-Maqdis berikrar untuk menyokong perjuangan kumpulan tersebut.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Rathke memberitahu, kumpulan ekstremis di Libya juga telah menyatakan sokongan kepada IS.

Dalam perkembangan lain di Iraq, IS didakwa telah merobohkan beberapa masjid di wilayah Salahuddin dan turut meletupkan sebuah gereja di bandar Mosul.

Ketua Parti Demokratik Kurdistan (KDP) di Mosul, Saad Mamuzin berkata, kumpulan itu sekali lagi menyasarkan masjid dan gereja sebagai tindak balas terhadap serangan udara dilancarkan ke atas kubu kuat mereka yang turut mengorbankan puluhan nyawa. -AFP