Islam Tak Ajar Sebar Berita Palsu Ragu Status Halal Produk Makanan - JAKIM


PUTRAJAYA - Tindakan segelintir masyarakat menyebarkan berita palsu berhubung keraguan status halal terutamanya produk makanan yang kian menjadi trend di laman sosial, bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha, tindakan itu juga boleh menimbulkan keresahan dan mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat.

"Isu ini sudah terlalu lama seperti orang yang sebar tiada kerja lain...sebagai umat Islam sudah pasti kita tahu menyebarkan berita paslu adalah salah dan berdosa," katanya selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Mekanisme Pengurusan dan Tadbir Urus Halal di sini pada Rabu.

Beliau berkata pengguna jangan terlalu cepat percaya atau panik sebaliknya boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib terlebih dahulu.

"Kita ada menyediakan senarai produk makanan yang mempunyai status halal dan orang ramai boleh lihat dalam laman web Jakim," katanya mengulas sikap segelintir masyarakat yang gemar memuat naik berhubung status halal sesuatu barangan di laman sosial.

Mengenai bengkel tersebut, Othman berkata ia bertujuan mengenal pasti isu dan cabaran dalam pengurusan serta pembangunan industri halal selain mengemukakan cadangan penambahbaikan dalam usaha menjadikan negara hub halal global.

Bengkel selama tiga minggu itu diadakan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Halal Development Corporation (HDC) dan Jabatan Standard Malaysia. - BERNAMA