Assalamualaikum. Saya ingin minta pandangan ustaz tentang masalah yang saya hadapi sekarang. Saya telah berzina dengan ramai lelaki termasuk dengan suami kawan saya sendiri sehingga saya mengandung dan telah menggugurkan kandungan itu. Kawan saya telah tahu saya berzina dengan suaminya.
Sekiranya saya ingin bertaubat, adakah saya perlu minta maaf dengan kawan saya itu dan suami saya sendiri? Tolonglah saya selesaikan masalah saya ini.
* Mariati, Pasir Puteh, Kelantan
UKE: Puan Mariati, perbuatan berzina merupakan satu dosa besar di dalam Islam. Saya menasihatkan puan supaya bertaubat dengan taubat nasuha dan tidak boleh menangguh-nangguhkan bertaubat.
Pada pendapat saya, di dalam memohon maaf kepada kawan Mariati adalah memadai bertaubat kepada Allah SWT kerana dibimbangi apabila Mariati memohon maaf secara terus kepada perempuan tersebut boleh mendatangkan masalah yang lebih besar.
Berbeza jika Mariati berhutang, mengumpat, memfitnah kepada perempuan tersebut maka wajarlah memohon maaf kepadanya kerana melibatkan diri perempuan tersebut.
Di dalam kes ini, Mariati terlibat dengan suaminya, maka Mariati dan suaminya yang wajib bertaubat kepada Allah SWT. Memadailah memohon maaf kepada kawan Mariati secara umum apabila bertemu dengannya.
Sumber: Utusan