PORT DICKSON – Media diminta berhati-hati dan bertindak bijak dalam
melapor isu dengan mengelak pemberitaan sensasi atau keterlaluan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk
Seri Hasan Malek berkata ini bagi menjamin rakyat mendapat maklumat yang
betul dan tepat.
"Kerapuhan isu dan pelanggaran etika kewartawanan akan menyebabkan
rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap media. Media tetap
berperanan penting dan ini harus diakui semua pihak.
"Kita tahu sejak
akhir-akhir ini pelbagai isu timbul dan peranan media sangat penting
dalam soal penyaluran maklumat.
"Media secara tidak langsung dapat membentuk kerangka pemikiran
audiens terhadap sesuatu perkara. Media juga sebagai salah satu
pendorong kuat kepada tindakan masyarakat terhadap sesuatu isu.
"Ini bermakna media adalah mereka yang dapat memandu serta mendorong
kepada sesuatu tindakan secara berkesan," katanya pada Malam Apresiasi
Media Negeri Sembilan 2014 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini malam tadi.
Bagaimanapun, beliau berpendapat laporan terhadap isu-isu yang dibangkitkan hendaklah dibuat dengan jujur dan berani.
"Jujur tidak pula bermakna kita sengaja mencari kesalahan orang lain
dan berani tidak bermaksud ia boleh memporak-perandakan negara sehingga
menjejaskan perpaduan. Saya berpendapat kebebasan media di negara ini
adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sesetengah negara,"
katanya.
Menurut Hasan, Presiden Persatuan Komunikasi Antarabangsa (ICA) Prof
Ang Peng Hwa baru-baru ini berkata bahawa media Malaysia adalah yang
terbaik dalam kalangan 10 negara anggota Asean daripada sudut laporan
berita.
Beliau turut berharap media boleh memainkan peranan memupuk perpaduan
bangsa dan integrasi national walaupun kini terpaksa berdepan dengan
masyarakat yang semakin kritis.
"Bagi saya, media massa boleh membantu mententeramkan keadaan dan
memberikan penjelasan yang benar terhadap apa juga isu yang
dibangkitkan," katanya.
Malam Apresiasi Media Negeri Sembilan 2014 itu antara lain bertujuan
untuk merapatkan lagi hubungan media negeri ini dengan KPDNKK dan agensi
di bawahnya.
Pada siangnya diadakan KPDNKK Media Amazing Hunt 2014 dari Seremban ke Port Dickson. – BERNAMA