JAKIM Nafi Program "Mukhayyam" Paksa Mak Nyah Solat Jemaah

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan tetap meneruskan usaha untuk mengembalikan golongan mak nyah kepada fitrah asal mereka menerusi Program Mukhayyam walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak.

Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM Zakuan Sawai berkata Program Mukhayyam secara tidak langsung berjaya menginsafkan peserta malah ada dalam kalangan mak nyah ingin kembali ke pangkal jalan.

“Ada mak nyah yang telah menukar jantina melalui pembedahan dan telah insaf datang meminta bimbingan secara berterusan dari JAKIM,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jelas beliau, Program Mukhayyam ini tidak menjanjikan golongan mak nyah untuk kembali menjadi lelaki sejati secara mendadak, namun JAKIM berusaha mencegah mereka daripada melakukan maksiat.

Beliau berkata demikian sebagai menangkis kenyataan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Justice for Sisters’ (JFS) dan segelintir golongan mak nyah dalam laporan sebuah portal berita online berbahasa Inggeris pada Ahad yang antara lain mendakwa Program Mukhayyam mempunyai agenda tersembunyi dan ‘berbahaya’.

Menurut Zakuan, JFS yang hanya terdiri daripada 13 ahli jawatankuasa dan kebanyakan bukan Islam tidak memahami usaha murni JAKIM itu.

Katanya, anggota JFS yang kebanyakan merupakan golongan profesional seperti doktor dan peguam turut mempengaruhi golongan mak nyah supaya tidak kembali ke pangkal jalan.

JFS turut mendakwa, selain mewajibkan solat berjemaah dalam jadual program, para peserta juga dipaksa memakai pakaian lelaki ketika mendirikan solat.

Menjelas lanjut perkara berkenaan, Zakuan berkata pihaknya tidak memaksa peserta untuk bersolat secara jemaah sebaliknya mereka melakukannya secara rela hati dan memilih imam dalam kalangan mereka serta dengan sendirinya memakai pakaian lelaki ketika solat.

“Kami amat terharu dengan perkara yang dilakukan peserta ini, mujur mereka tidak memakai telekung.. bayangkan jika suatu hari nanti, ada lelaki memakai telekung dan bersembahyang bersama jemaah perempuan,” katanya.

“Malahan kebanyakan peserta yang mengikuti program ini berasa tidak selesa dengan kehadiran aktivis berkenaan kerana selalu menghasut mereka.

“Selain itu, para peserta juga memberi sokongan dan kata semangat kepada kami (JAKIM) untuk menghadapi karenah mereka (aktivis transgender),” katanya sekali gus menangkis tohmahan yang dilemparkan aktivis transgender terhadap program murni berkenaan.

Dalam pada itu, Zakuan menyeru aktivis transgender seperti JFS untuk tampil berbincang secara baik dengan JAKIM bagi merungkai permasalahan ini.

Program Mukhayyam berbentuk perkhemahan tiga hari dua malam ini telah dimulakan pada awal 2011 dengan kerjasama JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri yang sehingga kini berjaya menarik sebanyak 500 peserta.

Selain pengisian program keagamaan yang memberi kesedaran dan muhasabah diri, Program Mukhayyam juga memberi peluang kepada peserta melakukan aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, sukan bola sepak dan sepak takraw. – BERNAMA