Jamil Ajak Huffaz Berdakwah Demi Akidah Ummah

KUALA LUMPUR - Golongan huffaz diminta menggunakan ilmu dan kepakaran mereka untuk memberi kefahaman kepada orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang cuba memesongkan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, golongan itu perlu memainkan peranan ini kerana sejak kebelakangan ini ada pihak-pihak tertentu dilihat cuba merendahkan institusi keagamaan di negara ini dengan menganjurkan aktiviti tidak bermoral.

Dalam menghadapi keadaan ini, golongan huffaz perlu bertindak sebagai agen kecil dalam menyampaikan dakwah kepada orang ramai, katanya pada majlis tawaran Skim Pembiayaan Hafiz 2014 di sini hari ini.

Jamil juga mahu golongan huffaz terus menimba ilmu di peringkat lebih tinggi agar hasrat kerajaan menambah bilangan huffaz bergelar graduan dapat dicapai.

"Rakyat yang berilmu dan mempunyai pakej daya intelek yang tinggi akan menjadi modal insan yang berkualiti tinggi," katanya.

Di majlis itu, 150 orang menerima Skim Pembiayaan Hafiz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mereka ialah pelajar bergelar hafiz yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana muda.

Dengan ini, seramai 357 pelajar sudah mendapat tajaan di bawah skim itu dengan peruntukan sebanyak RM5.7 juta semenjak 2012.

Mereka datang daripada pelbagai bidang pengajian seperti pengajian Islam, Qiraat, perubatan, sains, kejuruteraan, farmasi, pergigian, teknologi maklumat, ekonomi dan sastera. - Bernama