SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini
meminta umat Islam supaya tidak tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah
dikeluarkan tanpa memahami perkara itu dengan sepenuhnya.
Baginda bertitah umat Islam perlu bersatu dan berpadu fikiran untuk
memahami segala ajaran Islam dan ia perlu mengatasi ideologi dan
kepentingan politik.
“Beta menyatakan demikian supaya tidak mahu wujud sebarang
pertelagahan dan perbalahan sesama umat Islam dalam pelaksanaan urusan
agama sehingga maruah agama Islam jatuh, mudah dipersenda dan dipertikai
pihak yang tidak bertanggungjawab,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Sultan
Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Bangunan
Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Sultan Selangor bertitah sesuatu fatwa bukan hanya dibuat atau
ditentukan oleh mufti sahaja, malah dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa
yang terdiri daripada alim ulama dan profesional yang mahir dalam bidang
masing-masing termasuk dalam bidang perundangan.
“Mereka akan berbincang dan menentukan sesuatu hukum, setelah
mengambil kira hukum-hukum di dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab yang
berkaitan.
“Sesuatu fatwa yang dibuat di negeri Selangor hanya akan menjadi sah
setelah mendapat persetujuan dan perkenan Beta,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu keamanan, perpaduan
dan pembangunan yang telah dibina dan dipertahankan hancur atau
dimusnahkan oleh mereka yang bersikap melampau hanya disebabkan
kejahilan atau dipengaruhi hawa nafsu serta unsur-unsur ekstremis luar.
Baginda menyeru umat Islam supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah Islam.
Baru-baru ini, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan mahu memohon semakan
kehakiman mengenai fatwa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang
mengisytiharkan pertubuhan itu membawa fahaman sesat iaitu liberalisme
dan pluralisme.- BERNAMA